X

Kindly register in order to view this article
!

Wanita cari pemilik wang tunai RM750

Siti Nor Ain menunjukkan gambar wang tunai yang ditemuinya ketika berurusan di CDM CIMB Pasir Mas.
A
A

PASIR MAS - Tindakan jujur seorang wanita menyerahkan wang tunai berjumlah RM750 kepada pihak polis selepas menemuinya di mesin deposit tunai (CDM) di CIMB Bank Pasir Mas pada 6 Jun lalu tular di media sosial dan mendapat pujian warganet.

Kisah dikongsi Siti Nor Ain Mohamad, 27, yang merupakan peniaga online itu tular di media sosial sejurus dia memuat naik perkara berkenaan di Instagram selepas menemui wang tersebut.

Siti Nor Ain berkata, dia mengambil keputusan menyerahkan wang tunai itu kepada polis selepas gagal mengesan pemilik wang tunai berkenaan yang juga seorang warga emas.

Menurutnya, wang tunai itu ditemui di mesin CDM selepas warga emas berkenaan selesai menggunakan perkhidmatan mesin itu.

"Ketika sedang beratur ada seorang lelaki warga emas sedang menggunakan perkhidmatan CDM. Warga emas itu kemudian memberitahu lelaki yang berada di belakangnya berkemungkinan dia mengambil masa agak lama sedikit.

"Lelaki berkenaan kemudian bertindak keluar dari barisan dan beralih ke CDM yang lain. Saya yang berada di barisan sama mengambil alih kedudukan lelaki itu selepas dia keluar dari barisan," katanya.

Katanya, ketika sedang menunggu resit pengesahan menggunakan perkhidmatan itu, dia terkejut apabila menemui beberapa keping wang tunai di atas penutup papan kekunci nombor di mesin CDM.

Siti Nor Ain sempat merakam kelibat lelaki yang tertinggal wang tunai ketika berurusan.
Siti Nor Ain sempat merakam kelibat lelaki yang tertinggal wang tunai ketika berurusan.

"Saya kemudian bertanya kepada individu di sebelah adakah dia ternampak kelibat warga emas berkenaan.

"Lelaki itu meminta saya supaya terus bergegas keluar dan mencari warga emas namun gagal," katanya.

Siti Nor Ain berkata, selepas gagal mencari warga emas berkenaan, dia terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk membuat laporan berhubung penemuan wang tunai itu.

Katanya, dia berbuat demikian kerana yakin ia lebih selamat selain memudahkan warga emas tersebut membuat tuntutan.

"Sejujurnya saya terkejut berita ini tular kerana ia hanya dikongsi menerusi Insta Story di Instagram sahaja. Mungkin kawan-kawan kongsikan cerita ini yang kemudiannya tular.

"Saya berharap lelaki warga emas itu tampil menuntut wang tersebut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes tersebut.

Katanya, bagaimanapun sehingga hari ini masih belum ada mana-mana individu yang datang menuntut wang berkenaan.

"Kita akan serahkan wang tersebut kepada pihak Bank CIMB Pasir Mas hari ini bagi tindakan mengenalpasti maklumat pemiliknya melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis berkenaan.

"Kita juga akan meminta pihak bank membuat pengesanan di ATM atau CDM serta akaun simpanan serta rekod transaksi pengeluaran wang pada waktu kejadian seperti laporan dibuat oleh pengadu," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!