X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 09 Disember 2021

Bursa Malaysia rendah pada tengah hari

A
A

BURSA Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini dengan lebih rendah, menjejaki penyusutan pasaran Asia susulan kelemahan prestasi semalaman Wall Street.

Kenyataan pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) yang cenderung kepada kadar faedah rendah semalam, juga membayangkan bahawa kadar semasa akan terus kekal sehingga 2022 yang turut memaparkan prospek ekonomi lebih suram.

Perkembangan itu menyebabkan saham-saham AS susut, kata peniaga.

Pada jam 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 15.31 mata kepada 1,559.96 daripada 1,575.27 yang dicatatkan pada Rabu.

Sewaktu dibuka indeks itu naik 2.38 mata kepada 1,577.65 dan berlegar dalam jajaran 1,559.01 hingga 1,586.22 sepanjang dagangan awal.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 727 berbanding 294 manalala 379 kaunter lain tidak berubah, 509 tidak didagangkan dan 20 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 5.56 bilion unit bernilai RM2.85 bilion.

Seorang peniaga berkata Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi namun susut akibat tekanan jualan merentasi semua papan pada tengah hari ini.

Malah sentimen juga secara amnya agak suram ketika para pelabur memilih aset selamat, katanya.

Sementara itu, Ketua Strategis Pasaran Global, AxiCorp Stephen Innes berkata, gabungan kenyataan Fed dan laporan peningkatan kes virus Covid-19 di Texas telah menyebabkan kekalutan dan pasaran menjadi tidak menentu.

“Ini kerana pasaran tidak menjangkakan penularan virus di Texas berlaku sedemikian pantas ketika ekonomi baru dibuka semula secara beransur-ansur.

“Namun, penularan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan ketika peniaga sebaliknya memberi tumpuan kepada tanda-tanda sama ada risiko terhadap aset akan terus berlanjutan atau sebaliknya,” katanya.

Di peringkat serantau, pasaran Nikkei Jepun susut 2.54 peratus kepada 22,537.51, Straits Times Singapura merosot 2.49 peratus kepada 2,730.91 manakala Indeks Hang Seng Hong Kong menguncup 1.03 peratus kepada 24,791.36.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank rugi 16 sen kepada RM8.04, Public Bank merosot 22 sen kepada RM17.12 manakala IHH Healthcare turun dua sen kepada RM5.55.

Tenaga naik dua sen kepada RM11.98 manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM6.90.

Bagi saham aktif, AT Systematization naik 4.5 sen kepada 17 sen, Luster Industries dan waran AT Systematization masing-masing menambah dua sen kepada 12 sen dan 8.5 sen, Minetech Resources meraih 2.5 sen kepada 26 sen manakala Pegasus kekal pada satu sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas merosot 110.40 mata kepada 10,993.12, Indeks FBM Emas Shariah turun 92.29 mata kepada 12,420.27 dan FBM 70 jatuh 121.42 mata kepada 13,581.31.

FBM ACE pula susut 78.56 mata kepada 5,916.99 manakala Indeks FBMT 100 merosot 104.18 mata kepada 10,847.07.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Pengguna susut 1.62 mata kepada 140.27, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 221.77 mata kepada 13,625.59 namun Indeks Perladangan naik 2.25 mata kepada 6,838.91. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!