Peniaga Pasar Jalan Othman kecewa sewa naik hingga 300 peratus

Rajaratnam (kanan) dan Hian Tat (dua dari kanan) merakamkan gambar bersama selepas sidang akhbar di hadapan pasar berkenan di sini hari ini.
Rajaratnam (kanan) dan Hian Tat (dua dari kanan) merakamkan gambar bersama selepas sidang akhbar di hadapan pasar berkenan di sini hari ini.
A
A
A

PETALING JAYA - Peniaga di Pasar Besar Jalan Othman meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang menaikkan kadar sewa gerai sehingga 300 peratus.

Difahamkan, sebelum ini kadar sewaan di pasar berkenaan hanya sekitar RM90, namun jumlah itu telah dinaikkan sehingga RM400.

Timbalan Pengerusi Pasar Besar Jalan Othman, N Rajaratnam berkata, kadar sewaan itu adalah tidak masuk akal memandangkan jumlahnya amat membebankan peniaga di pasar ini yang turut berdepan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebelum ini.

"Sewaktu PKPD, pendapatan peniaga di pasar ini kebanakan sudah terjejas dan apabila ia kembali beroperasi, MBPJ pula menetapkan kadar sewaan tidak masuk akal ini," katanya pada sidang akhbar di pasar berkenaan di sini hari ini.

Hadir sama sewaktu sidang akhbar itu adalah Setiausaha MCA Bahagian Petaling Jaya, Chew Hian Tat dan Ketua Pemuda MCA Petaling Jay, Lim Han Boon.

Keadaan di dalam Pasar Besar Jalan Othman yang dibuka semula selepas PKPD.
Keadaan di dalam Pasar Besar Jalan Othman yang dibuka semula selepas PKPD.

Pasar Jalan Othman dibuka semula operasi baru-baru ini kepada orang ramai selepas dikenakan penguatkuasaan PKPD susulan terdapat beberapa individu didapati positif wabak koronavirus (Covid-19) di sini.

Mengulas lanjut, Rajaratnam berkata, waktu operasi pasar berkenaan yang dipendekkan bermula jam 6 pagi sehingga 12 tengah hari turut memberi kesan kepada pendapatan mereka selepas ini.

Artikel Berkaitan:

"Disebabkan itu, kami peniaga di sini bercadang untuk menghantar surat kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam masa terdekat bagi meminta campur tangan kerajaan negeri," katanya.

Dalam pada itu, Hian Tat berkata, tindakan MBPJ menetapkan beberapa syarat lesen yang dilihat tidak munasabah juga turut menimbulkan rasa kurang senang peniaga di pasar ini.

Beliau berkata, MBPJ turut mengenakan bayaran sewa RM250 setiap bulan kepada peniaga-peniaga yang menggunakan peti sejuk di gerai mereka.

"Bayangkan sewa mereka dah naik hingga RM400 dan mereka juga kena bayar RM250 sebulan untuk setiap peti sejuk yang digunakan. Pastinya ini amat membebankan.

"Disebabkan itu, kita turut bersama-sama peguam pada hari ini bagi membantu peniaga terlibat melihat ruang yang ada untuk kita membela nasib mereka," katanya.

Buat masa ini, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada MBPJ berhubung perkara itu.