Peluang bina hidup baharu

Mohd Farid menyempurnakan penyerahan empat bekas banduan Penjara Taiping kepada wakil Syarikat APG Steel Enterprise semalam.
Mohd Farid menyempurnakan penyerahan empat bekas banduan Penjara Taiping kepada wakil Syarikat APG Steel Enterprise semalam.
A
A
A

TAIPING - “Syukur masih ada yang sudi menerima, ini peluang kami untuk membina kehidupan baharu dalam masyarakat,” kata Azhar, 34, bekas banduan yang berjaya ditempatkan dalam sektor pekerjaan menerusi Program Penempatan Semula Penjara Taiping di sini semalam.

Azhar dari Bagan Serai berkata, peluang bekerja itu bakal membolehkannya berdikari dan memperoleh pendapatan bagi menyara diri dan keluarga.

“Jadi saya anggap ini permulaan terbaik untuk saya berubah menjadi insan lebih berguna,” katanya.

Program Penempatan Semula Penjara Taiping kali ini menyaksikan empat banduan diterima bekerja dalam sektor pembinaan oleh Syarikat APG Steel Enterprise yang berpusat di Nilai, Negeri Sembilan.

Seorang lagi bekas banduan dikenali Fuad, 30, dari Taiping berkata, program itu memberi kesempatan untuknya memperbetulkan kesilapan diri.

MOHD FARID
MOHD FARID

“Harap perubahan ini akan membuatkan kami diterima dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penjara Taiping, Mohd Farid Kassim berkata, program yang diperkenalkan sejak Januari itu telah berjaya menempatkan 45 bekas banduan dalam pelbagai sektor pekerjaan swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Artikel Berkaitan:

Katanya, penempatan itu dibuat berdasarkan permintaan khidmat mereka dari pelbagai sektor termasuklah pembinaan, perkilangan, pertanian, perikanan dan kerja-kerja pembersihan.

Mohd Farid (kanan) menyantuni bekas banduan yang berjaya ditempatkan dalam sektor pekerjaan menerusi program penempatan semula di Taiping semalam.
Mohd Farid (kanan) menyantuni bekas banduan yang berjaya ditempatkan dalam sektor pekerjaan menerusi program penempatan semula di Taiping semalam.

“Tumpuan kawasan bukan hanya di Perak sahaja, ada antara mereka sudah pun dihantar ke Pahang, Pulau Pinang, Selangor dan Johor mengikut kecenderungan mereka,” katanya.

Beliau berkata, permintaan terhadap tenaga kerja bekas banduan pada ketika ini adalah tinggi dan ia satu perkembangan positif dalam usaha membantu kumpulan itu berdikari.

Dalam pada itu, Pengurus Syarikat APG Steel Enterprise, Mohd Muhlis Sukir berkata, penempatan semula pekerjaan merupakan inisiatif terbaik kerajaan membantu syarikat mencari tenaga kerja tempatan bagi menggantikan pekerja asing.