Pelihara penampilan, elak kewibawaan, integriti diragui

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemegang jawatan penting dalam negara khususnya Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan Menteri Undang-undang perlu lebih sensitif memelihara penampilan awamnya agar tidak menimbulkan keraguan terhadap kewibawaan dan integritinya.

Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata, rakyat lebih cakna dan sensitif berkenaan isu-isu melibatkan kewibawaan dan integriti pemimpin negara dalam era Malaysia Baharu ini.

“Walaupun majlis tersebut adalah majlis makan malam tradisi dianjurkan setiap tahun, dihadiri semua pihak yang terlibat dalam bidang perundangan namun kemesraan ditunjukkan Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan Menteri Undang-Undang boleh menimbulkan kesangsian.

“Terutamanya dalam memastikan doktrin pemisahan kuasa dalam negara ini dapat dilaksanakan dengan adil tanpa dipengaruhi antara satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penularan video menunjukkan aksi Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum; Peguam Negara, Tommy Thomas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong menari twist di pentas dalam satu majlis di Sabah.

Tambah beliau, pemegang jawatan penting negara yang berpotensi terlibat dalam percanggahan kepentingan (conflict of interest) perlu mengelak daripada menonjolkan kemesraan bersama-sama di khalayak awam.

Tegasnya, seorang hakim terikat dengan Kod Etika Hakim 2009 yang digubal di bawah Fasal (3B) Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan yang menuntut seseorang hakim mengurangkan risiko percanggahan dengan tanggungjawab kehakiman Hakim semasa menjalankan aktiviti luar kehakimannya.

“Menurut Kod Etika Hakim 2009 tersebut, seseorang hakim hendaklah mengelakkan hubungan rapat dengan anggota profesion perundangan secara individu, khususnya mereka yang menjalankan amalan di dalam mahkamah hakim itu.

Artikel Berkaitan:

“Apatah lagi ika hubungan sedemikian mungkin menimbulkan syak atau tanggapan pilih kasih yang munasabah (Seksyen 8(2)) dan seseorang hakim tidak boleh berkelakuan dengan cara yang boleh membawa nama buruk kepada jawatannya sebagai seorang Hakim (Seksyen 8(7)).

Berdasarkan kepada Kod Etika Hakim 2009, Mohd Parid merasakan beberapa peruntukan di dalam kod etika tersebut adalah amat relevan dalam isu tarian tersebut.