Dua anggota polis didakwa terima rasuah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Dua anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan dengan niat bersama menerima suapan sebagai upah tidak mengambil tindakan terhadap warga asing pada Disember lalu.

Tertuduh, Lans Koperal Shaiful Rizal Osman,36, dan Konstabel Muhammad Zuhair Mazlan,27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh dengan niat bersama menerima suapan iaitu wang tunai berjumlah RM3,000 daripada Nordin Chebueraheng sebagai upah bagi tidak melakukan suatu perkara yang dicadangkan iaitu tidak mengambil tindakan udang-undang terhadap Nordin Chebueraheng, Saifudin Modeng dan Hakimee Sabideng.

Tertuduh melakukan perbuatan itu di Bahagian Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh Balai Kampung Baru Subang jam 3.40 pagi pada 24 Disember lalu.

Oleh yang demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dibaca Bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan Akta 574 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan berasingan, Shaiful Rizal Osman juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan meminta suapan daripada individu lain bagi melepaskan tiga warga asing berkenaan.

Mengikut pertuduhan di tempat yang sama, pada 23 Disember jam 10.40 malam hingga 24 Disember jam 1.33 pagi, tertuduh didakwa meminta suapan RM5,000 terhadap Atanan Jhebueraheng sebagai dorongan untuk tertuduh yang merupakan pegawai awam berpangkat Lans Koperal Narkotik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

Artikel Berkaitan:

Shaiful didakwa melakukan perbuatan itu untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Nordin Chebueraheng, Saifudin Modeng dan Hakimee Sabiden dan dengan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(1)(B)Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan RM10,000 terhadap kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan hadir minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM.

Bagaimanapun, Shaiful Rizal yang diwakili peguam, Mohd Redzuan Mohamed Yusoff memohon jaminan dikurangkan berikutan anak guamnya mempunyai tanggungan tiga anak dan isteri.

Mohd Redzuan juga berkata, anak guamnya turut mempunyai seorang anak yang mengalami masalah kesihatan manakala Muhammad Zuhair yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah kerana dia penanggung utama keluarga yang turut mempunyai seorang anak berusia setahun dan isterinya juga telah berhenti kerja apabila beliau kini bertugas di Johor Bahru.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 iaitu RM5,000 bagi setiap satu pertuduhan melibatkan Shaiful Rizal dan RM8,000 bagi pertuduhan melibatkan Muhammad Zuhair.

Hakim Rozillah juga turut menetapkan tarikh 16 Julai depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.