Covid-19: Selangor catat sifar kes baharu

Sifar kes baharu Covid-19 di Selangor setakat jam 12 tengah hari semalam.
Sifar kes baharu Covid-19 di Selangor setakat jam 12 tengah hari semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Buat pertama kalinya Negeri Selangor mencatatkan sifar kes baharu wabak koronavirus (Covid-19) setakat jam 12 tengah hari semalam.

Berikutan itu jumlah kes keseluruhan Covid-19 di Selangor kekal 1,971 kes sama seperti kelmarin.

Bagaimanapun, setakat ini tiada daerah yang mencapai tahap zon hijau kes aktif Covid-19.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi laman Twitternya memaklumkan tiada kes baharu tempatan mahupun kes import di Selangor semalam.

“Alhamdulillah pertama kali Selangor catatkan tiada kes baru, baik kes tempatan mahupun kes import. Tahniah rakyat Selangor, kita harus kekal berdisiplin dan amal penjarakan fizikal. Covid-19 masih berada di sekeliling kita,” katanya.

Dalam pada itu, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menerusi infografik dikongsikan di Facebooknya memaklumkan kejayaan itu dicapai hasil amalan normal baharu yang diamalkan rakyat negeri ini.

“Tahniah Selangor! Tiada kes baharu buat pertama kalinya. Satu rekod yang sangat menginspirasikan buat warga Selangor. Moga terus cemerlang!.

“Tiada rahsia untuk kejayaan ini melainkan dengan mengamalkan normal baharu iaitu penjarakan fizikal, menjaga kebersihan diri serta pakai topeng muka. Tetaplah berdisiplin, jangan gagalkan usaha cemerlang ini,” menurut kenyataan dimuat naik.

Artikel Berkaitan:

STFC turut memaklumkan mukim Kapar telah bersih daripada kes aktif yang menjadikan kawasan tersebut zon hijau.

Setakat jam 12 tengah hari semalam, seramai 1,642 pesakit dilaporkan telah sembuh manakala 201 kes lagi masih aktif.

Sebanyak 23 kes kematian dilaporkan akibat dijangkiti Covid-19 di Selangor dan dua daerah masih ditakrif zon merah masing-masing Hulu Langat (76 kes aktif) dan Sepang (68 kes aktif).