Najib sindir Khalid, minta menteri tukar cermin mata segera

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegur Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berhubung sebuah yayasan dipengerusikan menteri itu, yang memberi seluar saiz pinggang 38 inci dan kasut bayi sebagai bantuan sekolah.

Beliau menyindir Khalid rabun saiz kerana tidak tahu saiz seluar dan kasut yang dipakai pelajar sekolah, serta menyarankan Ahli Parlimen Shah Alam itu supaya menukar cermin matanya serta-merta.

"Apa hal Yayasan dipengerusi Khalid Samad bagi seluar saiz pinggang 38 inci dan kasut bayi sebagai bantuan murid miskin sekolah rendah Cina? Kan ahli Parlimen DAP dah tegur serta minta penjelasan mengapa wang rakyat dibazir begitu sahaja.

"Hari itu rabun warna. Hari ini rabun saiz. Saya rasa ada perlu menteri tukar kaca mata dengan serta-merta," katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Dalam pada itu, Najib turut menasihatkan Khalid supaya membuat kerja dengan betul.

"Kurangkan makan petai dan troll-troll tidak menjadi," sindirnya.

Hari ini, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mendakwa sehelai seluar panjang bersaiz pinggang 38 inci dan kasut bayi antara barangan yang diterima murid di dua sekolah rendah Cina di Kuala Lumpur, yang merupakan sebahagian bantuan program kembali ke sekolah dikendalikan Yayasan Wilayah Persekutuan.

Memetik sebuah portal berita, Lip Eng berkata, program itu merupakan acara tahunan yayasan yang merupakan sayap kebajikan Kementerian Wilayah Persekutuan itu, namun beliau mendakwa, program itu dikatakan mengalami kegagalan kerana jumlah barangan tidak mencukupi selain tidak tepat.

Artikel Berkaitan:

Justeru beliau menggesa Khalid menjalankan siasatan kerana ia melibatkan pembaziran wang pembayar cukai.