Datang awal 30 minit sebelum azan: JAIPk

Orang ramai boleh merujuk Facebook JAIPk untuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai garis panduan bagi solat berjemaah di masjid dan surau di Perak.
Orang ramai boleh merujuk Facebook JAIPk untuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai garis panduan bagi solat berjemaah di masjid dan surau di Perak.
A
A
A

IPOH - Datang awal 30 minit sebelum azan dilaungkan antara prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi jemaah terpilih untuk menunaikan solat fardu di semua masjid dan surau di Perak.

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerusi garis panduan pelaksanaan solat fardu berjemaah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dikeluarkan semalam, sejurus selepas azan dilaungkan, pintu pagar dan pintu masjid akan dikunci sebelum iqamat dilaungkan.

Selain itu, jemaah yang terpilih untuk menunaikan solat berjemaah di masjid perlu membawa kad pengenalan bagi tujuan semakan oleh pegawai masjid dan surau serta perlu menulis nama dan nombor telefon pada buku rekod yang disediakan.

Hanya warga Malaysia berumur 15 hingga 70 tahun yang sihat dibenarkan hadir menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau dengan jumlah bilangan 40 orang tidak termasuk ahli jawatankuasa kariah.

Semua jemaah perlu mengambil wuduk dari rumah masing-masing dan membawa sejadah sendiri untuk menunaikan solat secara berjemaah.

"Garis panduan ini disediakan bagi mewujudkan penyelarasan dengan memastikan pelaksanaan tugas mengikut ketepatan yang ditentukan oleh pihak berkuasa selain bertujuan mengatur masyarakat agar mematuhi arahan PKPP bagi menunaikan solat fardu berjemaah.

"Penyediaan garis panduan ini juga bertujuan memastikan tiada jangkitan kluster atau penyebaran wabak dalam kalangan ahli jemaah," jelas JAIPk menerusi garis panduan yang dimuat naik di dalam Facebook mereka.

Dalam pada itu, pihak pengurusan masjid dikehendaki menyusun saf solat berjemaah pada jarak sekurang-kurangnya satu meter yang telah dibuat penandaan terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, hanya satu pintu masuk dan keluar dibenarkan dibuka dengan kawalan keselamatan oleh pengawal keselamatan atau jawatankuasa kariah.

Sejurus selepas solat berjemaah selesai, pihak ahli jawatankuasa juga perlu membuat rondaan di sekeliling masjid dan surau bagi memastikan tidak jemaah yang berkumpul.

Sementara itu, bagi solat Jumaat pula, SOP hampir sama digunakan bagi solat berjemaah dengan beberapa pindaan antaranya jemaah yang terpilih perlu hadir 1 jam sebelum azan dilaungkan kerana pintu pagar masjid akan ditutup selepas doa azan kedua.

Ahli jawatankuasa masjid dan Surau Diri Jumaat disarankan memilih jemaah secara bergilir dalam kalangan individu berkelayakan untuk menunaikan solat Jumaat.

Jelasnya, jawatankuasa kariah masjid atau Surau Diri Jumaat yang melanggar panduan ditetapkan akan diambil tindakan sewajarnya.

Orang ramai boleh merujuk keseluruhan garis panduan tersebut menerusi Facebook Jabatan Agama Islam Perak.

Semalam, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam kenyataannya memaklumkan semua masjid dan surau di Perak dibenarkan menerima jemaah seramai 40 orang bagi solat fardu dan solat Jumaat mulai esok.

Perkara itu selaras dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin setelah menimbangkan sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan setelah merujuk garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan.

[Artikel berkaitan: https://www.sinarharian.com.my/article/87062/EDISI/Perak/Perak-benarkan-solat-berjemaah-40-orang]

TAMAT