X

Kindly register in order to view this article
!

Bursa Malaysia dibuka tinggi

A
A

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi hari ini walaupun Wall Street susut semalaman ketika pelabur menilai kenyataan pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) yang cenderung kepada kadar faedah rendah, semalam, kata peniaga.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 5.29 mata kepada 1,580.56 daripada 1,575.27 pada Rabu.

Sewaktu dibuka, indeks utama itu naik 2.38 mata kepada 1,577.65.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 317 berbanding 108 manakala 259 kaunter tidak berubah, 1,225 tidak diniagakan dan 20 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berjumlah 722.78 juta unit bernilai RM213.40 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata pasaran ekuiti dijangka tidak banyak berubah susulan langkah Fed mengekalkan kadar faedah semasa yang sememangnya dijangkakan pasaran, sekali gus membayangkan prospek ekonomi lebih suram.

“Di peringkat tempatan, sentimen sebaliknya akan terus dipacu oleh pembukaan semula aktiviti ekonomi yang dapat menjana semula pertumbuhan pada separuh kedua tahun ini.

"Bagaimana pun, kami berpendapat aspek (mengambil) keuntungan turut menjadi tumpuan ketika aktiviti perdagangan terus meningkat dalam beberapa hari ini,” katanya.

Sementara itu Rakuten Trade Sdn Bhd berkata, aktiviti pengambilan untung itu ketara di Wall Street walaupun Fed terus memberi jaminan bahawa kadar faedah itu kekal rendah.

"Kami menjangkakan pasaran serantau akan terus melakukan pembetulan teknikal hari ini di tengah-tengah kehadiran mudah tunai yang ketara.

"Bagi pasaran tempatan, kami melihat FBM KLCI kekal bertenaga dipacu oleh sokongan daripada kedua-dua institusi dan peruncit tempatan. Berikutan itu, indeks penanda aras itu dijangka dalam lingkungan 1,570 hingga 1,580 pada hari ini," katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Public Bank masing-masing susut empat sen kepada RM8.16 dan RM17.30 manakala Petronas Chemicals turun satu sen kepada RM6.89.

Tenaga naik dua sen kepada RM11.98 dan IHH Healthcare menokok lapan sen kepada RM5.65.

Bagi saham aktif, Pegasus naik setengah sen kepada 1.5 sen, AT Systematization meningkat lima sen kepada 17.5 sen, Lust Industries dan waran AT Systematization masing-masing menambah tiga sen kepada 13 sen dan 9.5 sen manakala waran Pegasus sebaliknya tidak berubah pada setengah sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 35.36 mata kepada 11,138.88 dan Indeks FBMT 100 bertambah 34.32 mata kepada 10,985.57 manakala FBM 70 menokok 63.60 mata kepada 13,766.33.

Indeks FBM Emas Shariah pula meningkat 61.08 mata kepada 12,573.64 dan FBM ACE naik 32.59 mata kepada 6,028.14.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 0.40 mata kepada 142.29, Indeks Perladangan menokok 29.67 mata kepada 6,866.33 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 10.66 mata kepada 13.836.70. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!