PKPP: Pengusaha pelancongan perlu kreatif

Gambar kecil: Zamari Muhyi
Gambar kecil: Zamari Muhyi
A
A
A

IPOH - Semua pengusaha pelancongan perlu memikirkan kaedah pemasaran kreatif dalam usaha mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka bermula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputera Perak, Zamari Muhyi berkata, pemasaran secara kreatif itu akan menjadi kebiasaan baharu bagi sektor pelancongan pasca penularan koronavirus (Covid-19) untuk menarik pelancong ke tempat mereka.

Menurutnya, bagaimanapun, tumpuan utama lebih menjurus kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam melaksanakan semua aktiviti melibatkan pelancongan.

"Persatuan ingin merakam jutaan terima kasih di atas pengumuman yang dibuat oleh kerajaan dan ia merupakan sesuatu yang dinanti nantikan oleh pemain industri pelancongan. Sudah tentunya tempoh PKPP ini memberi sinar baru kepada industri Pelancongan dengan norma baharu.

"Pengusaha pelancongan telah dan sedang mempersiap untuk mematuhi SOP yang perlu bagi menerima kehadiran pelancong supaya mereka berasa yakin dan selamat untuk melancong," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai pembukaan operasi sektor pelancongan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam tempoh PKPP sebelum ini.

Dalam pada itu, Zamari berkata, biarpun kelonggaran yang diberikan dalam tempoh PKPP itu menggembirakan sebahagian besar pemain industri pelancong, mereka masih berdepan beberapa kekangan.

Menurutnya, antara kekangan tersebut termasuklah kedatangan pelancong yang dijangka akan sedikit berkurangan daripada kebiasaan kerana masih ramai rakyat bimbang penularan akan kembali.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagaimanapun, situasi tersebut dilihat lebih baik berbanding pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini yang menyebabkan sebahagian besar industri pelancongan lumpuh.

"Kami berharap agar kerajaan negeri dapat sama-sama melestarikan serta merancakkan lagi promosi dan aktiviti-aktiviti pelancongan dengan program-program yang berterusan seperti program Travel Perak for Perakian, Baucar Pelancongan dan Program Sijil Bersih kepada pengusaha pelancongan di dalam negeri Perak," katanya.

Pada 20 Mei lalu, kerajaan Perak mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Fasa Kedua (PRE 2) bernilai RM71,171,820 membabitkan pelbagai sektor seperti perniagaan, pertanian dan pelancongan.

Melalui PRE 2 itu, sebanyak RM10.48 juta diperuntukkan dalam usaha memperkasa sektor pelancongan sebagai langkah proaktif dengan merangka strategi dan inisiatif bagi menyokong pemulihan industri pelancongan.

ARTIKEL BERKAITAN Perak umum pakej rangsangan kedua lebih RM71 juta Artikel Penuh