PPK Bernam Jaya nafi terlibat

Keratan portal Sinar Harian.
Keratan portal Sinar Harian.
A
A
A

SABAK BERNAM - Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bernam Jaya menafikan terlibat dalam projek perusahaan ternakan ayam yang didakwa menjadi punca serangan lalat kepada penduduk di tiga kampung di Parlimen Sabak Bernam.

Pengerusinya, Datuk Abd Rahman Bakri berkata, projek ternakan ayam itu diusahakan individu dan pihaknya tidak lagi terbabit dalam projek itu sejak tahun 2014.

Menurutnya, tuduhan mengaitkan PPK Bernam Jaya terlibat dalam projek itu hanya menimbulkan kemarahan kepada kira-kira 3,800 ahlinya.

"PPK Bernam Jaya tidak lagi terlibat dalam operasi ternakan ayam dengan alasan kami memahami keluhan penduduk kampung berkaitan rungutan gangguan lalat.

"Kami tidak terlibat dalam projek ternakan ayan kerana itu antara pengusaha ayam dan jabatan berkaitan bukan dengan PPK Bernam Jaya.

"Isu ini sebenarnya sudah lama, tetapi kenapa sekarang hal lalat ini dibangkitkan?" katanya kepada Sinar Harian.

Justeru, katanya, kenyataan dimuat naik Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh di Facebook yang mengaitkan PPK Bernam Jaya dalam projek ternakan ayam disifatkan tidak berasas.

"Sepatutnya beliau merujuk dahulu perkara terbabit dan tidak membuat tuduhan yang hanya mengelirukan fakta sebenar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Fasiah telah mengemaskini status di Facebook terbabit dengan memadam nama mengaitkan PPK dalam projek ternakan terbabit.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, pihak berwajib diminta menangani segera masalah lalat di tiga kampung berhampiran dalam kawasan Parlimen Sabak Bernam.

Mohd Fasiah berkata, masalah itu didakwa berpunca daripada perusahaan ternakan ayam yang berada berhampiran tiga kampung iaitu Sapintas, Bagan Nira dan Bagan Tunjang.