5 universiti penyelidikan Malaysia tersenarai 200 terbaik dunia

UM sekali lagi tergolong dalam 100 universiti terbaik dunia, melonjak ke kedudukan ke-59 untuk 2021 berbanding ke-70 pada 2020.
UM sekali lagi tergolong dalam 100 universiti terbaik dunia, melonjak ke kedudukan ke-59 untuk 2021 berbanding ke-70 pada 2020.
A
A
A

PUTRAJAYA- Buat julung kalinya, kelima-lima buah universiti penyelidikan Malaysia berada dalam kelompok 200 universiti terbaik dunia dan satu peratus teratas dalam laporan dikeluarkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2021, semalam.

Menurut kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), universiti berkenaan ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Menurut KPT, UM sekali lagi tergolong dalam 100 universiti terbaik dunia, melonjak ke kedudukan ke-59 untuk 2021 berbanding ke-70 pada 2020.

"UM telah berjaya disenaraikan dalam kedudukan 100 universiti terbaik sejak tahun 2018 iaitu tujuh tahun lebih awal daripada sasaran malah berjaya mengekalkan dan meningkatkan kedudukan setiap tahun sehingga ke kedudukan semalam," katanya.

Kenyataan KPT menyebut UPM berada di kedudukan ke-132 berbanding 159 pada 2020, UKM di tangga ke-141 (2020: 160), USM di tempat ke-142 (2020: 165) dan UTM di kedudukan ke187 (2020: 217).

Selain itu, sebuah universiti awam dan tiga universiti swasta turut menunjukkan peningkatan yang membanggakan dengan berada dalam kelompok 550 terbaik dunia.

Universiti berkenaan ialah Taylor’s University (379), UCSI University (391), Universiti Teknologi Petronas (439) dan Universiti Utara Malaysia (kelompok 531-540), katanya.

Menurut KPT, 11 lagi institusi pendidikan tinggi awam dan swasta juga berjaya disenaraikan dalam ‘top 1000’ QS World University Rankings 2021 iaitu Management and Science University (MSU), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Sunway University, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Multimedia University (MMU), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

KPT memaklumkan ia adalah pencapaian terbaik negara setakat ini dan membuktikan hala tuju pendidikan tinggi negara berada di landasan yang betul dalam menyediakan institusi pendidikan tinggi yang berkualiti dan cemerlang sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

Artikel Berkaitan:


"Kejayaan ini secara tidak langsung akan terus menempatkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di rantau ini. Di samping itu, ia juga dapat membantu institusi dalam menjalinkan kerjasama dengan penyelidik terkemuka dunia," jelasnya.

Menurut KPT, laporan QS juga menyatakan bahawa Malaysia merupakan antara negara yang menunjukkan peningkatan terbaik dalam penarafan kali ini. - BERNAMA