X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 29 November 2021

'KAFA tidak pernah lupa'

Laporan Sinar Harian semalam. Gambar kecil: Ahmad Muzakkir dan Husin
A
A

Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menegaskan bahawa persatuan itu tidak pernah melupakan komitmen menyelesaikan tunggakan gaji bekas pemain dan bekas jurulatih The Red Warriors (TRW).

Sebaliknya menurut Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman, KAFA tetap memberikan keutamaan kepada mereka ini kerana persatuan menyedari TRW tidak hanya bakal berdepan pemotongan mata tetapi juga penarikan lesen kelab kebangsaan musim 2021 sekiranya tidak menyelesaikan isu itu menjelang 30 Jun ini.

“Usah bimbang KAFA tidak pernah melupakan tanggungjawab kami terhadap mereka ini, kerana kami akan menjemput mereka dalam membincangkan penjadualan semula pembayaran tunggakan gaji sebelum ini.

“Cumanya kami minta mereka semua bersabar sebab pada ketika ini KAFA sedang giat mengumpul dana dari orang ramai dan kami tidak mahu memanggil mereka berbincang dengan tangan kosong sahaja kerana andai panggil tangan kosong nanti mereka marah pula.

“KAFA ada tempoh masa sehingga 30 Jun seperti diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini, dan KAFA sememangnya bagi mereka keutamaan sebab kes KAFA dengan FAM melibatkan enam orang antaranya Piya, Hashim Mustapa, Amirizdwan Taj Tajudin dan Nor Farhan Muhammad antara yang serius.

“Jadi sekiranya KAFA tidak menyelesaikan dengan mereka menjelang 30 Jun ini kami tahu kita tidak akan dapat lesen bagi 2021, kami tahu sangat implikasi yang kami akan hadapi,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Semalam Sinar Harian melaporkan bahawa bekas pemain dan bekas jurulatih TRW terkilan apabila mendakwa KAFA tidak menghubungi mereka bagi memaklumkan mengenai perbincangan berhubung isu penjadualan semula pembayaran tunggakan gaji.

Menurut bekas kapten Kelantan, Mohd Badhri Mohd Radzi dan bekas Penolong Jurulatih Kelantan yang juga Ketua Jurulatih Skuad Bawah 21 tahun musim 2016-2017, Hashim Mustapha mereka hanya mengetahui mengenai perbincangan itu menerusi media cetak dan bukannya melalui KAFA.

Sementara itu, KAFA kembali dihimpit tekanan baharu apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan persatuan menyelesaikan tunggakan gaji seorang lagi bekas pemain import, Alaeddine Bouslimi yang berjumlah kira-kira USD37,000 (RM157,380).

Mengesahkan perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, badan induk bola sepak dunia itu memberikan tempoh 45 hari kepada KAFA untuk menyelesaikan hutang bekas pemain pertahanan TRW kelahiran Tunisia berkenaan.

“KAFA mula menerima tuntutan hutang lapuk persatuan daripada FIFA terbaharu tuntutan Alaeddine selepas Bruno Lopes dan Cassio Francisco de Jesus sebelum ini, namun peguam kami juga sedang berusaha untuk menguruskan perkara ini dalam usaha mencari penyelesaian terbaik.

“Namun pada ketika KAFA terus menerima tuntutan hutang lapuk, alhamdulillah, Tabung Selamatkan Bola Sepak Kelantan setakat jam 12 tengah hari semalam terus menerima sumbangan sebanyak RM25,000 daripada orang ramai yang prihatin untuk membantu meringankan beban KAFA,” katanya yang turut memaklumkan bahawa KAFA juga sedang berusaha mencari penaja baharu TRW menjelang penyambungan Liga Malaysia (Liga-M) yang dijangka bermula September depan.

Kepada yang ingin menderma ke Tabung Selamatkan Bola Sepak Kelantan boleh menyalurkan sumbangan ke nombor akaun Maybank - 5530 1063 0676 sehingga 31 Ogos depan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!