Normal baharu, normal lama Bandar Maharani

No Image Caption
A
A
A

Kalau boleh hari ini juga saya hendak pulang ke kampung. Almaklumlah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kira-kira tiga bulan lalu, saya belum lagi menyedut udara Muar.

Sebelum gangguan Covid-19 saya menjenguk rumah di kampung selang seminggu atau paling tidak pun sebulan sekali.

Walaupun abah dan emak sudah lama tiada, rutin mengemas rumah di Kampung Sungai Jaya diteruskan.

Di rumah pusaka itu saya dilahir dan dibesarkan. Maka, meski setelah bertahun – dan beranak-pinak hidup di Kuala Lumpur – acara pulang ke desa hujung minggu tetap menjadi kemestian.

PKP menghalang rutin ini. Covid-19 tiba-tiba mengubah segalanya. Kehidupan tidak lagi seperti biasa. Apa yang disebut new normal menukar keadaan.

Saya dapat bayangkan apa jadi pada rumah yang tidak dijengah selama tiga bulan; yang pasti rumput di halaman dan keliling rumah semakin liar.

Pasti juga kalau ada pisang, rambutan, durian di belakang rumah, semua menjadi habuan monyet dan kera. Saya tidak kisah, biarkan itu menjadi rezeki mereka, anggaplah sebagai new normal.

Dalam pada itu, saya berharap sangat bukan semua menjadi normal baharu di Bandar Maharani yang saya cintai itu.

Artikel Berkaitan:

Saya harap walaupun terhalang oleh PKP, normal-normal lama masih wujud di Muar. Antaranya masih ada amalan dan kegemaran makan sate pada waktu pagi.

Saya tidak akan melepaskan peluang untuk meratah sate di restoran hadapan stesen bas sebelah pasar.

Seawal jam 8 pagi orang sudah mengerumuni restoran tersebut untuk menikmati sate. Sebaik menyeberangi jambatan sungai Muar, saya sudah terbau aroma sate yang semerbak itu!

Tidak sahaja sate, di situ juga ada mi rebus yang kuahnya pekat untuk segera membuka selera pagi. Dalam keadaan gian, saya boleh menghabiskan dua mangkuk mi rebus sekali gus.

Dan siapa dapat menyangkal keenakan mi bandung Muar yang keharuman kuah udang keringnya terasa melekat di kerongkong sepanjang hari!

Ada juga roti bakar bertangkup kaya yang ‘ngam’ betul dimakan bersama telur separuh masak, berserta kopi ‘kaw-kaw’ yang dihidang dalam cawan tebal. Itu adalah antara normal lama waktu pagi Muar yang saya harap tidak akan bertukar.

Untuk makan tengah hari saya pasti ke medan selera di Tanjung. Gerai-gerai di situ menawarkan beraneka masakan ori Melayu.

Pilihan saya ialah gerai No.10 atau No.8 yang asam pedas ikan sembilangnya pada hemat saya terlazat di seluruh dunia. Boleh cuba!

Ada juga asam pedas telur ikan, asam pedas ikan parang atau kepala mayong; menghirup kuahnya pun boleh berpeluh dahi dan dagu.

Untuk penutup makan tengah hari, ada rojak buah atau ABC kacang merah dengan dua skup ais krim pelengkap rasa.

Tiga bulan tidak pulang ke Muar saya harap bandar di tepi sungai itu mengekalkan identiti dan normal-norma lama, meski pun normal-normal baharu mungkin tidak dapat dapat dielakkan berikutan serangan wabak Wuhan yang banyak menukar gaya hidup seluruh dunia itu.

Hatta duku berkulit tebal yang biasa di jual di tepi jalan, bagi saya, adalah normal lama yang selalu mengingatkan saya tentang Muar!

Bercakap mengenai normal lama dan normal baharu, saya masih senang dan selesa memandu dari KL ke kampung, tidak ada masalah langsung. Tetapi anak-anak lebih suka saya tidak lagi memandu kerana faktor usia dan kesihatan.

Hatta sekiranya saya pulang berdua dengan isteri pun, dia meminta saya duduk di sebelah; dia yang menjadi drebar.

Maka isteri sebagai pemandu pun menjadi antara new normal setiap kali pulang ke kampung. Saya tidak kisah, lagi sedap.

Isteri saya pun tidak kisah menjadi supir. Baginya new normal tidak menjadi hal. Asal jangan saya ada ‘new Normah’ atau ‘new Normala’!

Berita gembira itu dinyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad lalu semasa mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini, menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berakhir kelmarin, sekali gus menyaksikan larangan rentas negeri ditarik balik.

* Datuk Abd Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian. Beliau merupakan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah