X

Kindly register in order to view this article
!

Berwaspadalah selalu

A
A

Pada 7 Jun lalu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa bermula 10 Jun 2020, rentas negeri dibenarkan. Ramai yang bersorak gembira dan macam-macam reaksi ditunjukkan di media sosial.

Semua tidak sabar untuk pulang ke kampung. Semua sudah merindui ibu bapa dan saudara masing-masing apatah lagi Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini sambutannya dibuat dalam keadaan terhad dan kurang meriah kerana perlu patuh kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Saya juga tidak sabar untuk balik kampung kerana hasrat untuk pulang pada 19 Mac lalu terbantut apabila kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula pada 18 Mac 2020.

Meskipun kini pihak berkuasa telah memberikan kebenaran merentas negeri kepada rakyat Malaysia, tetapi peringatan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa pandemik Covid-19 masih belum lagi berakhir sangat perlu diberi perhatian oleh kita semua.

Kenapa kita tidak boleh mengambil mudah dengan peringatan KKM? Ini kerana seluruh dunia belum pulih lagi sebenarnya. Malah sehingga saat ini, masih ada negara-negara yang jumlah jangkitan meningkat dari sehari ke sehari. Di Malaysia sendiri pun, masih ada lagi jangkitan-jangkitan baharu yang dilaporkan walaupun angkanya semakin menurun.

Oleh itu, apa jua tindakan kita hendaklah mengambil kira keselamatan diri kita dan juga orang lain. Kita tidak boleh fikir diri kita sahaja. Kita kena fikir orang lain. Ini selari dengan sebuah hadis yang diriwayatkan Sa’ad Ibnu Sinan al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang mudarat dan dan tidak boleh memudaratkan orang lain”. (Riwayat Ibn Majah). Malah kaedah la darar wala dirar ini juga salah satu kaedah fiqh.

Justeru, dalam keseronokan kita ‘merayakan’ berita gembira tentang kebenaran merentas negeri, jangan sampai nanti kita lupa menjaga segala peraturan dan nasihat yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Jangan sampai ketidakpedulian kita ini bukan sahaja memudaratkan diri kita malah memudaratkan individu lain di sekeliling kita.

Yang paling kita perlu ingat ialah jika kita tidak mahu ambil peduli dengan peraturan dan nasihat pihak berkuasa, sebenarnya kita akan membuatkan petugas barisan hadapan menderita kepenatan, kelaparan dan sebagainya yang tidak dirasai oleh kita yang hanya duduk di rumah semasa pandemik Covid-19 berada pada tahap kritikal di negara kita.

Keperluan menjaga diri dan orang lain ini sememangnya boleh difahami dan dihayati dengan penuh kesungguhan bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga yang dijangkiti Covid-19 dan para petugas yang terlibat dalam memerangi wabak ini. Tetapi bagaimana pula kita yang duduk di luar daripada kasut mereka?

Sewajarnya kita menjadi manusia yang tidak pentingkan diri dalam apa jua urusan termasuk dalam hal tanggungjawab memerangi wabak Covid-19 ini. Kita tidak boleh serahkan kepada pihak berkuasa sahaja. Tanpa kerjasama daripada rakyat Malaysia, tidak mungkin kerajaan mampu mengawal jangkitan virus yang sangat berbahaya ini.

Akhir kalam, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang sedang bergembira untuk balik kampung, pergi bercuti dan sebagainya mulai semalam agar mematuhi segala peraturan dan nasihat daripada pihak berkuasa.

Bukan sahaja kita jaga diri kita tetapi kita jaga juga orang lain. Oleh itu, berwaspadalah selalu selagi mana pandemik ini tidak diisytihar sudah berakhir oleh pihak berkuasa. Wallahu a’lam.

Apa jua tindakan kita hendaklah mengambil kira keselamatan diri kita dan juga orang lain.”

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!