132 lagi peserta RTT negatif Covid-19

Ahmad Shapawi Ismail
Ahmad Shapawi Ismail
A
A
A

SERAMAI 132 peserta di bawah program ‘Road to Tokyo’ (RTT) di Pusat Latihan Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, disahkan negatif jangkitan koronavirus (Covid-19).

Sementara itu, 11 daripada keseluruhan 143 atlet, jurulatih, atlet ‘rakan pelatih’, pengurus sukan, anggota sokongan, serta pegawai khidmat sokongan sains dan perubatan sukan di pusat latihan berkenaan, masih menunggu keputusan ujian Covid-19.

“Keputusan ujian swab bagi kumpulan atlet dan pegawai (11 orang) ini masih belum diperoleh dan dijangka diketahui lewat petang ini.

“Sebagai makluman juga, semua atlet di Pusat Latihan Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil akan memulakan latihan pada 11 Jun,” kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, 38 peserta di Akademi Badminton Malaysia dan 24 peserta di Pusat Latihan Perahu Layar Langkawi turut disahkan negatif Covid-19 selepas ujian swab kali kedua dilakukan pada 5 Jun.

Beliau berkata, kesemua atlet, jurulatih, dan pegawai khidmat sokongan sains sukan dan perubatan sukan itu, perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan, semasa sesi latihan tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: