Kenapa Menteri Kewangan disenangi?

A
A
A

Bayangkan diri anda sedang dibayar RM800,000 setiap bulan untuk melakukan kerja yang anda sukai, tiba-tiba anda ditawarkan satu kerja lain yang jauh lebih sukar dan mencabar dengan gaji hanya sekitar RM80,000 sebulan – hampir 10 kali ganda lebih rendah – sanggupkah anda menerima tawaran itu?

Kedengaran mustahil, tetapi itulah gambaran keputusan yang diambil oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz apabila beliau meninggalkan posisi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank CIMB dan menerima tawaran sebagai Menteri Kewangan Malaysia pada Mac lalu

Sudahlah terpaksa berdepan situasi ketidakstabilan politik negara, beliau juga terpaksa merangka dasar kewangan pada saat pandemik Covid-19 mula mengganas serta kejatuhan harga minyak akibat perang harga minyak Arab Saudi-Rusia.

Jelas, beban dan cabaran yang bakal beliau hadapi cukup tidak sepadan dengan pendapatan material yang ditawarkan.

Pada tahun 2017 sahaja, pendapatan Tengku Zafrul sebagai CEO CIMB menurut Laporan Tahunan CIMB 2017 ialah RM9.8 juta setahun atau RM823,750 sebulan. Pendapatan sebagai Menteri Kewangan pula, anggaran berdasarkan pengisytiharan Menteri Kewangan sebelum ini, Lim Guan Eng ialah RM86,000 sebulan.

Namun hari ini, tiada siapa yang boleh menafikan bahawa Tengku Zafrul cukup disenangi rakyat. Bukan, beliau bukan disenangi rakyat kerana pengorbanan meninggalkan posisi di puncak CIMB yang mungkin ramai orang kampung tidak tahu pun.

Malah, hakikat bahawa beliau mendermakan dua bulan gaji pertama sebagai Menteri Kewangan untuk sumbangan Covid-19, seperti menteri dan timbalan menteri lain, mungkin sudah dilupakan orang.

Sebaliknya, beliau dilihat cukup dekat di hati rakyat disebabkan dasar-dasar yang mengutamakan kesejahteraan semua lapisan masyarakat. Beliau tidak terperangkap dengan ilusi ideologi ‘pengurangan defisit kerajaan’ sama sekali.

Artikel Berkaitan:

Bacalah kenyataan terbaru beliau: “Demi negara dan rakyat, melepasi sasaran angka defisit sudah tidak begitu penting. Paling utama untuk kerajaan sekarang adalah menyelamatkan negara dan rakyat”.

Fokus

Maka tidak hairanlah apabila unjuran defisit Malaysia dijangka meningkat kepada enam peratus tahun ini selepas pengumuman PENJANA oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebagai perbandingan, dalam Belanjawan 2020 defisit diunjurkan sekitar 3.4 peratus, manakala selepas pengumuman pakej Prihatin sebelum ini, unjuran defisit fiskal 2020 meningkat kepada 4.7 hingga 5.0 peratus. Malah, nisbah hutang dalam negeri daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga meningkat kepada antara 55 hingga 55.6 peratus.

Namun, fokus utama kerajaan cukup jelas dirasai oleh rakyat: suntikan fiskal langsung RM35 bilion dalam pakej Prihatin ditambah pula dengan RM10 bilion lagi menerusi Penjana.

Jumlah keseluruhan suntikan RM45 bilion ini dengan serta-merta mengimpak rakyat yang berdepan wanak Covid-19 khususnya mereka yang hilang pekerjaan serta bergantung pada mata pencarian tidak tetap.

Begitu juga dengan subsidi gaji yang disalurkan. Data membuktikan, lebih 2.4 juta pekerjaan diselamatkan, lebih 11 juta rakyat menerima bantuan bagi mengurangkan beban aliran tunai dan lebih 300,000 syarikat dibantu.

Tengku Zafrul bukan ahli politik. Beliau tidak terikut-ikut dengan rentak politik kepartian yang tidak kunjung surut meskipun negara sedang dibadai ujian pandemik Covid-19.

Dengan pengalaman, kepakaran serta rekod beliau, Tengku Zafrul pada hakikatnya tidak perlu membebankan diri menanggung tanggungjawab berat dengan pulangan material yang tidak seberapa di posisi Menteri Kewangan saat ini.

Beliau boleh memilih untuk terus menikmati kehidupan sebagai seorang tokoh korporat, namun beliau lebih rela berkhidmat untuk kita semua. Semoga ALLAH peliharakan Tengku Zafrul dan pasukan beliau di Kementerian Kewangan.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda