Berdepan perang yang satu lagi

A
A
A

Semalam bermula Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP. Walaupun perintah kali ini lebih lama iaitu memakan masa selama 83 hari dari 10 Jun hingga 31 Ogos, ia begitu melegakan kerana banyak aktiviti ekonomi dan sosial telah dilonggarkan.

Sepanjang perintah yang dikuatkuasakan, pematuhan rakyat adalah 99 peratus. Ini adalah rekod dan sejarah negara. Tidak pernah berlaku dalam tempoh kita merdeka ini, pematuhan rakyat begitu baik sekali.

Sepanjang pemerintahan kerajaan, sama ada Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Harapan (PH), apa sahaja dasar, kempen atau keputusan kerap menjadi bahan ejekan sehinggakan banyak usaha pemerintah menjadi tidak berkesan, malah gagal sama sekali.

Namun, dalam memerangi Covid-19 ini, apabila kerajaan bertindak cepat melaksanakan PKP pada 18 Mac lalu, rata-rata rakyat yang pada mulanya terpinga-pinga, merungut dan ada yang bertengkar melawan perintah telah akhirnya patuh. Tindakan pasukan keselamatan melalui nasihat dan disusuli tindakan tegas tanpa kompromi juga telah mendisiplinkan rakyat.

Berikutan rapatnya pemerintah dengan rakyat, warga Malaysia telah kembali mengutamakan sumber berita rasmi daripada kerajaan kerana tidak mahu terlepas sesuatu yang penting.

Kewujudan media rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui laman sosial khususnya Telegram juga adalah normal baharu kerana ia menaikkan rasa keyakinan rakyat kepada pemerintah. Aplikasi MySejahtera turut memberi imej bahawa pihak pemerintah cekap memantau melalui teknologi terkini dan ini sesuai dengan jiwa generasi muda yang mesra IT.

Setelah kejayaan pihak kerajaan berperang untuk mengekang pandemik ini, tibalah giliran rakyat sama-sama pemerintah untuk berdepan dengan perang yang satu lagi iaitu memerangi kemelesetan ekonomi.

Pihak kerajaan melalui PENJANA telah menyediakan lebih 40 insentif menerusi pakej bernilai RM35 bilion yang tersusun. Tetapi kita sebagai individu dan anggota keluarga boleh membantu untuk merancakkan ekonomi domestik.

Artikel Berkaitan:

Apabila pasar pagi, pasar malam, pasar tani dan segala bentuk jualan dibenarkan, kita yang ingin berbelanja seharusnya membantu peniaga kecil ini untuk bernafas dengan membeli barangan mereka.

Kita mesti mengutamakan produk tempatan daripada kelompok perusahaan kecil dan sederhana untuk merancakkan ekonomi domestik. Ini termasuk juga pembelian keluaran pertanian tempatan.

Covid-19 telah mengajar kita untuk mengutamakan yang asas iaitu makanan. Selain pihak kerajaan memfokus kepada sekuriti makanan, kita juga perlu kembali untuk bercucuk tanam sama ada di kampung di mana terdapat banyak tanah terbiar yang belum diusahakan ataupun di bandar melalui pertanian bandar. Dalam pada itu, kita juga jangan membazirkan makanan.

Setelah kita akur dengan usaha sektor kesihatan, keselamatan dan pertahanan, kini tiba pula giliran sektor pertanian dan perusahaan mengambil tempat di barisan hadapan. Menurut Jabatan Perangkaan, 5.5 peratus atau 860,000 akan menganggur apabila banyak perusahaan gulung tikar.

Ramai yang akan putus bekalan makanan. Untuk itu, NGO-NGO perlu meneruskan usaha mereka membantu mereka agar tidak kelaparan.

Kita masih lagi dalam suasana perang untuk mengisi perut. Kerana itu, tidak perlulah perang berebut kerusi yang hanya mengenyangkan nafsu mereka yang berebut sahaja.

*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian