X

Kindly register in order to view this article
!

Apa yang nak dimalukan, kata Mila Jirin

Paparan Instagram Mila Jirin
A
A

"APA yang nak dimalukan? ya memang betul saya jual durian," demikian pengakuan usahawan berjaya yang juga penyanyi, Mila Jirin setelah membuat pengumuman itu di Instagram miliknya.

Mila berkata, menceburi bidang perniagaan buah durian itu adalah salah satu inisiatif untuk menampung kos syarikat susulan perniagaan perkahwinan tidak dapat diteruskan kerana wabak koronavirus (Covid-19) melanda negara.

“Sebenarnya buat pertama kali dalam hidup ini, saya jual durian dari Balik Pulau, Pulau Pinang, Pahang dan Johor. Khas buat anda warga kota.

“Kenapa saya jual durian? Kerana syarikat saya yang menjalankan perkhidmatan majlis perkahwinan BizMilla tidak dapat beroperasi buat masa sekarang kerana wabak Covid-19.

"Jadi, saya cuba terokai bidang baharu ini. Alhamdulillah sambutan hangat dan terima kasih yang datang dan sanggup beratur untuk mendapatkan durian saya,” katanya menerusi satu rakaman video durasi 2 minit 33 saat.

Paparan Instagram Mila Jirin
Paparan Instagram Mila Jirin

Menurutnya, perniagaan baharu itu juga untuk menampung gaji pekerja yang selama ini setia berkhidmat untuknya.

“Ini salah satu cara saya mempelbagaikan pendapatan syarikat, selain menjalankan perniagaan kek dan mengambil alih perniagaan makanan di sebuah restoran.

“Pekerja juga bergantung harap kepada kami kerana ia melibatkan pendapatan mereka.

“Saya kira ini rezeki pekerja saya juga selain menampung kos operasi perniagaan saya selama ini,” katanya.

Mila berkata, kepada orang ramai yang ingin menikmati durian itu boleh berkunjung di Putra Perdana, Puchong Selangor.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus