PKPP: Laluan lebuh raya hala Perak terkawal

Laluan lebuhraya Plus arah utara masih terkawal pada hari pertama pelaksanaan PKPP yang memberi kelonggaran untuk merentas negeri.
Laluan lebuhraya Plus arah utara masih terkawal pada hari pertama pelaksanaan PKPP yang memberi kelonggaran untuk merentas negeri.
A
A
A

IPOH - Laluan Lebuhraya Utara Selatan (Plus) di sepanjang jajaran Perak terkawal bagi hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membolehkan orang ramai merentas negeri mulai hari ini.

Tinjauan Sinar Harian di sepanjang laluan daripada plaza tol Ipoh Jelapang hingga ke Kuala Kangsar mendapati keadaan lancar tanpa sebarang insiden biarpun berlaku pertambahan kenderaan.

Berdasarkan pemerhatian juga, kebanyakan kenderaan yang berhenti di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Sungai Perak arah utara dipercayai daripada luar Perak berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan.

Bagi seorang pengguna lebuh raya, Mohmad Zin Ramli, 57, berkata, dia bersama keluarga mengambil peluang merentas negeri untuk pulang ke Kampung Berapit, Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah.

Katanya, perjalanan daripada Semenyih menuju ke utara tanah air berjalan lancar dengan jumlah kenderaan yang tidak begitu banyak.

Mohmad Zin
Mohmad Zin

"Alhamdulillah, syukur sangat-sangat dengan kelonggaran rentas negeri yang kerajaan beri ini dapatlah saya sekeluarga ziarah kubur ibu mentua yang meninggal pada Ramadan lalu.

"Saya pun tak balik lama sebab nak elak jalan sesak. Mungkin pulang semula ke Semenyih pada Jumaat nanti," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kawasan R&R Sungai Perak, Kuala Kangsar hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bagi seorang petugas barisan hadapan, Dr Siti Hajar Nordiana Mohd Hashim, 29, berkata, cuti selama seminggu yang diberikan setelah bertungkus lumus merawat pesakit koronavirus (Covid-19) dimanfaatkan memberi peluang kepadanya untuk menjenguk keluarga di kampung.

Dr Siti Hajar Nordiana
Dr Siti Hajar Nordiana

Menurutnya, setelah empat bulan tidak bertemu keluarga tercinta, peluang merentas negeri itu dimanfaatkan sebaik mungkin dalam tempoh PKPP tersebut.

Sementara itu, semakan Twitter Plustrafik mendapati laluan di sepanjang jajaran Perak terkawal dengan kenderaan dan tiada kesesakan luar biasa dilaporkan.

Keadaan di plaza Tol Jelapang terkawal dengan tiada pertambahan kenderaan petang tadi biarpun pelaksanaan PKPP bermula hari ini.
Keadaan di plaza Tol Jelapang terkawal dengan tiada pertambahan kenderaan petang tadi biarpun pelaksanaan PKPP bermula hari ini.