Dua plaza tol di Terengganu dijangka sesak Jumaat ini: LPT2

Keadaan laluan di Plaza Tol Kuala Terengganu di Kampung Gemuruh, di sini ketika tempoh penguatkuasaan PKP.
Keadaan laluan di Plaza Tol Kuala Terengganu di Kampung Gemuruh, di sini ketika tempoh penguatkuasaan PKP.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Plaza Tol Ajil di Kuala Berang dan Kuala Terengganu di Kampung Gemuruh dijangka sesak bermula Jumaat hingga Ahad ini dengan 25,000 buah kenderaan melalui dua plaza tol berkenaan dalam tempoh 24 jam.

Pengurus Perniagaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Sdn Bhd, Roszi Ibrahim berkata, situasi itu berlaku ekoran pertambahan bilangan kenderaan yang menghala ke Pantai Timur selepas kelonggaran merentas negeri dibenarkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula hari ini.

Beliau berkata, dijangka sebanyak 25,000 buah kenderaan berada di lebuh raya dalam tempoh 24 jam termasuk menghala ke Terengganu.

"Buat masa ini jumlah kenderaan yang melalui lebuh raya sekitar 30 peratus iaitu pertambahan 20 peratus berbanding tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini. Namun, bermula Jumaat ini kita jangka jumlahnya meningkat 100 peratus.

"Secara purata jumlah kenderaan persendirian yang biasanya melalui kawasan itu ialah 17,000 hingga 18,000 buah, kemungkinan setelah kebenaran rentas negeri dan orang ramai balik kampung beraya, akan berlaku peningkatan sehingga 25,000 buah kenderaan dalam satu hari di laluan berkenaan.

"Daripada jumlah itu, 85 peratus daripadanya membuat perjalanan pada waktu siang manakala 15 peratus selebihnya akan bergerak pada waktu malam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, pihak LPT2 akan membuka tambahan lorong berlapis di laluan plaza tol sekiranya jumlah kenderaan bertambah secara mendadak dengan jarak kesesakan mencecah 100 meter.

"Jika jumlah kenderaan sesak di plaza tol sehingga mencecah 100 meter, kita akan buka laluan tambahan bagi membolehkan trafik berjalan lancar.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan sentiasa melakukan pemantauan menerusi rakaman kamera dan rondaan secara berkala setiap masa (24 jam)," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengguna supaya sentiasa memastikan baki kad Touch 'n Go sentiasa mencukupi bagi mengelakkan kesulitan.

"Pastikan baki kad anda Touch 'n Go anda mencukupi bagi melancarkan perjalanan ke setiap destinasi yang dituju.

"Anda juga boleh menambah nilai di stesen minyak atau hentian Rehat dan Rawat (R&R) sebelum memasuki mana-mana plaza tol," katanya.

Sementara itu, katanya semua kedai di R&R akan beroperasi semula bermula 15 Jun ini.

"Ada yang dah mula buka hari ini namun kita jangka kesemua kedai beroperasi sepenuhnya bermula 15 Jun nanti dan diwajibkan mematuhi SOP yang ditetapkan. Kita menyediakan mesin pengimbas suhu dan cecair pembasmi kuman di setiap laluan untuk ke kedai-kedai di R&R.

"Para pelanggan perlu melalui proses saringan (imbasan suhu) sekali sahaja di setiap satu R&R dan perlu menulis nama di setiap gerai dikunjungi. Bagi surau-surau di R&R pula, dibuka seperti biasa namun setiap pengunjung perlu membawa telekung sendiri sebagai langkah berjaga-jaga. Setakat ini kita masih menutup taman permainan di setiap R&R kepada orang ramai kerana masih belum dibenarkan berbuat demikian," katanya.