Bekalan makanan laut cukup menjelang Tahun Baru Cina

Salahuddin semasa melawat pameran pada Program Keusahawanan dan Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Johor Corporation, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia di [email protected]
A
A

JOHOR BAHRU - Bekalan makanan laut terutamanya ikan dan udang mencukupi bagi menghadapi musim perayaan Tahun Baharu Cina awal bulan depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, malah, beberapa jenis ikan juga dihalang dieksport buat sementara waktu bagi memastikan bekalan itu terus mencukupi sehingga sambutan perayaan berkenaan.

"Saya telah diberikan taklimat bahawa bekalan kita cukup dan kita telah menghalang beberapa jenis ikan daripada dieksport buat sementara waktu untuk memastikannya mencukupi sehingga sambutan Tahun Baharu Cina.

"Cuma dari segi kenaikan harga itu, kita serah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membuat kawalan serta pemantauan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Keusahawanan dan Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Johor Corporation, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia di [email protected], di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin memberitahu, pihaknya merancang untuk menggabungkan tanaman kelapa bersama Lembaga Nanas Malaysia.

"Tanaman kelapa telah menjadi suatu agenda penting serta sumber rezeki baharu, jadi kita akan bincang dan perhalusi cadangan itu (penggabungan) untuk dibawa ke kabinet pada tahun ini," katanya.

Sementara itu, ditanya tentang industri padi di Kedah yang berada dalam kritikal berikutan pengeluaran beras tidak mencapai tahap yang ditetapkan, beliau mencadangkan pewartaan semua kawasan padi dilihat sebagai penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah keluasan tanah yang semakin mengecil di negeri itu.

"Seawal memasuki kementerian ini, saya telah ambil tahu tentang isu pengurangan kawasan jelapang padi kita. Saya telah bawa dalam Mesyuarat Tanah Negara tentang agenda ini dan pihak negeri juga (kerajaan Kedah dan Perlis) perlu ambil perhatian.

"Saya sudah memberi cadangan disebabkan tanah di bawah hak negeri, kerajaan negeri mesti ada usaha mewartakan semua kawasan sawah ini supaya ia tidak mengecil bilangannya pada masa akan datang," katanya.