Malaysia, Thailand setuju lanjut tempoh waktu operasi ICQS Bukit Kayu Hitam

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia dan Thailand bersetuju melanjutkan waktu operasi harian Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam serta Kompleks Imigresen, Kastam, dan Kuarantin (CIQ) Sadao, daripada 18 jam kepada 24 jam bagi tempoh percubaan selama tiga bulan mulai April ini.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat antara Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatannya dari Thailand’s Don Pramudwinai semalam, yang diadakan dalam lawatan delegasi Malaysia yang diketuai Saifuddin ke Bangkok.

Menurutnya kedua-dua pemimpin itu bersetuju bahawa lanjutan waktu operasi itu akan memberi tumpuan khusus kepada kenderaan kargo dan kenderaan berat yang sering berurusan di sempadan dua negara.

“Keputusan itu dibuat sebagai susulan kepada persetujuan yang dicapai antara Perdana Menteri kedua-dua negara semasa lawatan Tun Dr Mahathir Mohamad ke Bangko0k Oktober lepas,” menurut kenyataan itu.

Saifuddin dan Pramudwinai turut berbincang beberapa isu dua hala yang mempunyai kepentingan bersama, di samping isu-isu serantau dan global yang mempunyai kepentingan bersama.

"Mereka turut berbincang mengenai usaha meningkatkan ketersambungan antara Malaysia dan Thailand, yang terus menjadi keutamaan bagi Malaysia. Dengan infrastruktur yang baik dan maju, di samping ketersambungan sempadan yang lancar, inisiatif ini akan memudahkan lagi perdagangan merentasi sempadan antara Malaysia dan Thailand,” menurut kenyataan itu.

Merujuk kepada soal pembangunan mampan, yang turut menjadi fokus utama Thailand dalam melaksanakan peranannya sebagai Pengerusi Asean tahun ini, Wisma Putra berkata kedua-dua Menteri Luar memperakui kepentingan agenda pembangunan yang mampan dan komiten untuk bekerjasama bagi merealisasikannya.

“Malaysia secara aktif melaksanakan Matlamat Pembangunan Mampan yang sudah termaktub dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020),” menurutnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu sebelum lawatan rasmi itu, Saifuddin turut menghadiri Pemukiman Menteri Luar Asean yang dihoskan oleh Thailand pada 17 dan 18 Jan di Chiang Mai. - Bernama