Covid-19: Hanya dua kes baharu dilaporkan

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Malaysia sekali lagi merekodkan kes baharu positif koronavirus (Covid-19) terendah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan hanya dua kes dikesan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kedua-dua kes tersebut melibatkan satu kes import di Johor dan kes warga asing di Kuching, Sarawak.

"Sukacita dimaklumkan bahawa pada hari ini juga, tiada kes penularan dalam negara dicatatkan di kalangan rakyat," katanya.

Menurutnya, jumlah kes positif Covid-19 di negara ini adalah 8,338 kes dengan hanya 1,206 pesakit masih dirawat di hospital.

Beliau berkata, terdapat lima pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) namun tiada yang memerlukan bantuan pernafasan.

"Bagaimanapun dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan satu kematian berkaitan Covid-19 dan menjadikan jumlah keseluruhan kematian sebanyak 118 kes," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, kes kematian terbaharu itu melibatkan warga emas berumur 61 tahun yang pernah hadir ke Perhimpunan Sri Petaling.

"Dia yang mempunyai penyakit kencing manis dan buah pinggang telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 15 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia pada jam 7.03 pagi tadi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, terdapat 39 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 7,014 kes bersamaan dengan 84.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Ketika ditanya mengenai adakah jumlah positif yang rendah disebabkan kurangnya aktiviti saringan dilakukan, beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan saringan berterusan terutamanya kepada kumpulan sasar.

"Kadar dan unjuran dilihat hari ini seperti yang kita telah jangka iaitu mengalami penurunan," katanya.