Kedah lantik anggota polis, kesihatan jadi ahli majlis PBT

Muhammad Sanusi (dua dari kanan) menerima sumbangan 5,000 kotak produk kesihatan dari sebuah syarikat di sini hari ini.
Muhammad Sanusi (dua dari kanan) menerima sumbangan 5,000 kotak produk kesihatan dari sebuah syarikat di sini hari ini.
A
A
A

SIK - Kedah memutuskan melantik ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) yang baharu termasuk pelantikan semula anggota polis dan kesihatan sebelum 15 Jun ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, lantikan semula anggota polis dan kesihatan sebagai ahli majlis PBT dibuat selepas kedua-dua lantikan anggota terbabit telah ditiadakan pada sesi pentadbiran yang lalu.

Menurutnya, ia sebagai langkah proaktif mempelbagaikan kepakaran dan kewibawaan perkhidmatan PBT dalam memenuhi keperluan semasa penduduk tempatan.

"Tahniah diucapkan kepada anggota polis dan kesihatan yang akan menyertai rakan parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai ahli majlis PBT.

"Bagi pemilihan ahli majlis, nama-nama telah disenaraikan wakil parti cuma satu atau dua PBT yang belum dimuktamadkan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Pejabat Daerah Sik hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, beliau yakin senarai pelantikan ahli majlis PBT di semua daerah dapat diselesaikan sebelum 15 Jun nanti dengan mengambil kira kata sepakat semua parti Perikatan Nasional.

Beliau berkata, dengan pelantikan tersebut beliau berharap agar setiap PBT lebih sensitif kepada keperluan semasa di kawasan masing-masing sama ada dari segi keperluan awam, kewangan, kebajikan dan kebersihan.

Dalam pada itu, katanya, Kedah akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama dalam menjalankan perniagaan di pasar tani, pasar pagi dan pasar malam yang sudah dibenarkan beroperasi dengan SOP ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Ini memberi ruang dan peluang kepada golongan peniaga untuk menjana semula pendapatan mereka yang terjejas sejak tiga bulan lalu," katanya.