Letak kuota 0.5 peratus peluang pekerjaan buat bekas penagih

Lee Lam Thye - Foto Halim Wahid
Lee Lam Thye - Foto Halim Wahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) mencadangkan agar kerajaan meletakkan kuota 0.5 peratus peluang pekerjaan bagi bekas penagih dadah yang telah pulih sepenuhnya.

Naib Pengerusi Kanannya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, menerusi pelaksanaan itu Malaysia mampu mengurangkan tahap kebergantungan tenaga kerja asing khususnya bagi kerja-kerja yang tidak mempunyai kemahiran seperti sektor pembersihan.

“Kerajaan perlu meletakkan satu sasaran iaitu bagi mana-mana jawatan yang hendak diisi kerajaan bagi semua sektor, jadi sasaran kerajaan bahawa 0.5 peratus boleh diagihkan kepada penagih dadah yang sudah dipulihkan seperti yang dibuat kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Stigma (tanggapan buruk) ini harus ditangani dengan cara meyakinkan orang ramai termasuk majikan supaya jangan berpandangan buruk terhadap bekas penagih dadah, ini kerana mereka boleh membuktikan selepas mendapatkan rawatan, mereka boleh berfungsi (berkhidmat). Mereka boleh bergerak seperti orang lain untuk melaksanakan sesuatu tugas jadi stigma itu harus dikikis,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menurutnya, bekas penagih yang pulih sepenuhnya perlu diberikan peluang pekerjaan agar mereka dapat memulakan hidup baharu.

Jelas beliau, sekiranya diberikan peluang, bekas penagih dadah tidak akan melibatkan diri dengan dadah dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kes jumlah penagih dadah berulang.

"Mereka (kerajaan) misalnya boleh membuat program-program perintis bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan contohnya membersihkan jalan, longkang yang ketika ini semua kerja-kerja itu dibuat oleh pekerja asing," katanya.

Menurut beliau, sekiranya kerajaan melaksanakan program perintis itu ia secara tidak langsung akan menjadi contoh kepada sektor swasta bagi mengambil bekas penagih dadah untuk bekerja dalam sektor pembersihan.

Artikel Berkaitan:

Setakat Oktober 2018, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) merekodkan sejumlah 16,322 penagih dadah dalam negara. - Bernama