X

Kindly register in order to view this article
!

Zoo Melaka benarkan 1,000 pengunjung sehari

Hafizan membantu anaknya memakai cecair pembasmi kuman ketika beratur di pintu masuk Zoo Melaka.
A
A

MELAKA TENGAH - [DIKEMAS KINI] Zoo Melaka mula menerima pengunjung selepas dibenarkan beroperasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada hari ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Shadan Othman berkata, sepanjang tempoh itu seramai 1,000 orang akan dibenarkan mengunjungi tempat pelancongan itu sehari yang dibuat dalam dua sesi iaitu pagi dan petang.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan tidak berlaku kepadatan atau kesesakan pengunjung selain memudahkan kakitangan membuat pemantauan agar pekerja dan pengunjung mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Katanya, beliau yakin kehadiran pengunjung akan bertambah menjelang hujung minggu ini lebih-lebih lagi Zoo Melaka telah membuat tawaran potongan harga tiket RM10 bagi dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas berbeza dengan harga biasa RM 17 dewasa dan RM12 kanak- kanak.

"Pada hari ini sahaja 30 orang telah mengunjungi Zoo Melaka dan mereka boleh membuat pilihan sama ada untuk memasuki sesi pertama dari 8.30 pagi hingga 12 tengah hari atau sesi kedua dari 2 petang hingga 6 petang.

"Malah pembelian tiket boleh dilakukan sama ada secara dalam talian atau datang terus membeli tiket di kaunter," katanya ketika ditemui pemberita di Zoo Melaka, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Zoo Melaka dan Taman Burung Zanariah Khamis.

Mengulas lanjut, Shadan berkata, aktiviti memberi makanan kepada haiwan seperti gajah masih diteruskan dan setiap kandang haiwan akan ditempatkan pekerja untuk membantu dan memantau pengunjung.

Shadan menunjukkan petak penjarakkan sosial di kawasan Gajah di Zoo Melaka, di Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Shadan menunjukkan petak penjarakkan sosial di kawasan Gajah di Zoo Melaka, di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Katanya, beliau berharap Zoo Melaka akan terus gemilang dan menjadi tempat pelancongan yang menarik di negeri ini.

Pelbagai program yang dirancangkan termasuk mewujudkan ‘petting zone, sesi bergambar dengan haiwan, pemberian makanan secara percuma kepada haiwan, bertemu maskot pada hujung minggu dan banyak lagi,” katanya.

Sementara itu, pengunjung dari Shah Alam, Selangor, Hafizan Hashim, 47, berkata, kelonggaran yang diberikan kerajaan dengan membenarkan orang ramai merentasi negeri membuatkan dia juga tidak ketinggalan menggunakan peluang yang ada untuk membawa anaknya ke Zoo Melaka.

Hafizan
Hafizan

Menurutnya, biarpun merancang balik hari namun dijangka mengunjungi beberapa lagi lokasi pelancongan lain di Melaka sekali gus dapat meluangkan masa bersama keluarga.

"Sebenarnya dah lama berjanji dengan anak-anak nak bawa mereka ke zoo memandangkan sebelum ini anak-anak 'berkurung' di rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dilaksanakan Mac lalu," katanya yang bekerja swasta.

Kawasan seluas 20 hektar itu ditubuhkan pada 1963 menempatkan kira-kira 650 haiwan daripada 150 spesies yang berlainan dari seluruh dunia selain berperanan sebagai pusat pemuliharaan, penyelidikan dan pendidikan.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersetuju membenarkan semua zoo beroperasi mulai hari ini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!