100 hari: Mohd Amar bagi Muhyiddin Gred A

Mohd Amar ketika ditemui media berpandangan pentadbiran Muhyiddin bersama barisan Kabinetnya layak diberikan markah gred A.
Mohd Amar ketika ditemui media berpandangan pentadbiran Muhyiddin bersama barisan Kabinetnya layak diberikan markah gred A.
A
A
A

KOTA BHARU - Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah hari ini secara peribadinya memberikan markah tertinggi kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pasukan kepimpinannya dalam tempoh 100 hari pentadbirannya.

Mohd Amar berkata, Muhyiddin mempunyai kebolehannya tersendiri dan menunjukkan kemampuannya sebagai Perdana Menteri dalam menangani pelbagai cabaran mentadbir Malaysia terutama menguruskan wabak koronavirus (Covid-19).

Bagi Mohd Amar, Ahli Parlimen Pagoh bersama barisan Kabinetnya itu layak diberikan pengiktirafan tertinggi sebegitu dan ia juga terbukti kaedah diguna pakai disenangi rakyat.

“Dalam kes di luar jangka juga, Muhyiddin berjaya menanganinya dengan baik dan menunjukkan kebolehannya sebagai Perdana Menteri.

“Secara peribadinya, pemerintahan 100 hari beliau memuaskan. Pada pandangan saya beliau mempunyai pasukan yang baik dan orang-orang yang hebat bersamanya.

“Kalau kita boleh bagi markah, markah tinggilah untuk 100 hari ni. Kalau tanya saya, saya bagi A lah,” katanya kepada media hari ini.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di JKR 10 hari ini.

Dalam perkembangan lain mengulas mengenai formula pengagihan kerusi sekiranya Pilihan Raya Umum diadakan dalam jangka masa terdekat, Mohd Amar juga memberitahu, beliau tidak terlibat dan perbincangan hanya membabitkan pimpinan tertinggi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebagaimana dibincangkan sebelum ini, dari segi dasarnya bersetuju untuk menyerahkan kepada Pas pusat bagi membuat pendirian.

“Kita di peringkat negeri hanya melaksanakan apa yang diputuskan. Kami sendiri tidak bincang di peringkat negeri ini.

“Kita haraplah supaya perbincangan ini berjalan dengan baik dan dapat formula yang boleh diterima semua pihak,” katanya.