George Floyd disemadi di sebelah pusara ibunya di Houston

Ratusan orang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir dan majlis memperingati mendiang George Floyd. - Foto The Washington Post
Ratusan orang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir dan majlis memperingati mendiang George Floyd. - Foto The Washington Post
A
A
A

HOUSTON - Upacara pengebumian George Floyd diadakan semalam di gereja Fountain of Praise, di Houston, selatan Amerika Syarikat (AS), dua minggu selepas menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam satu kejadian yang tragis.

Ratusan orang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir dan majlis memperingati mendiang turut diadakan di Minneapolis dan Carolina Utara, lapor agensi berita Xinhua.

Bermula kira-kira 11 ​​pagi waktu tempatan (1600 GMT), keluarga dan rakan berkongsi kenangan mengenai Floyd sepanjang 46 tahun kehidupannya.

Mendiang dibesarkan di Houston dan menghabiskan sebahagian besar hidupnya di negeri ini.

Bekas Naib Presiden AS, Joe Biden turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Floyd melalui rakaman video.

"Bila keadilan diperoleh untuk George Floyd, barulah kita benar-benar menuju kepada perkauman yang adil di Amerika," kata calon Demokrat yang dijangka bertanding dalam Pilihan Raya Presiden 2020.

Datuk Bandar Houston, Sylvester Turner mengumumkan pada majlis pengebumian itu, beliau akan menandatangani perintah eksekutif melarang polis menggunakan kekerasan seperti mencekik.

"Pegawai polis juga perlu mengeluarkan amaran sebelum melepaskan tembakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Floyd dijangka disemadikan di sebelah pusara ibunya kerana ketika di penghujung nyawanya nama ibunya yang disebut.

Kematian Floyd mencetuskan protes besar-besaran di AS menuntut keadilan terhadap golongan Afrika-Amerika.

Floyd, meninggal dunia 25 Mei lalu, selepas ditahan polis kerana didakwa cuba menggunakan wang palsu di sebuah kedai di Minneapolis, Minnesota.

Menerusi rakaman video yang tular di Facebook, menunjukkan pegawai polis kulit putih, Derek Chauvin menggunakan kekasaran ketika menahan Floyd.

Chauvin menekan lututnya di leher Floyd selama hampir sembilan minit sehingga mangsa sukar bernafas dan rayuannya langsung tidak diendahkan anggota polis itu.

Floyd disahkan meninggal dunia di hospital sejurus selepas ditahan. - Bernama