Perantau, tolong jaga SOP PKPP: Ahmad

Ahmad ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di JKR 10, di sini hari ini.
Ahmad ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di JKR 10, di sini hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sangat mengharapkan perantau yang balik ke negeri ini mahupun penduduk setempat tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ahmad berkata, jika masing-masing tidak ambil berat, beliau bimbang sekiranya terdapat kes bawaan jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) dari luar berlaku di negeri ini.

Menurutnya, negara masih belum bebas sepenuhnya lagi, jadi diharapkan supaya rakyat negeri ini terus mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan bagi mengelak berlakunya penularan Covid-19.

“Ramai yang akan balik ke Kelantan selepas rentas negeri dibenarkan. Rakyat perlu ingat yang majlis keraian, rumah terbuka dan kenduri kahwin masih belum dibenarkan.

“Kita ingatkan, kebenaran balik ini bukan bermakna mereka bebas tetapi masih terikat dengan SOP. Dibenarkan hanya korban lembu (Aidiladha) nanti,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kelantan di JKR 10 hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, begitu juga dengan 887 pelajar Mesir dikuarantin di Kuala Lumpur yang dijangka tiba di Kelantan malam ini diharapkan untuk terus berada di rumah masing-masing meskipun disahkan negatif Covid-19.

“Mereka perlu kuarantinkan diri di rumah dan akan dipantau oleh Jabatan Kesihatan Kelantan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, berhubung dengan waktu operasi perniagaan termasuk juga dengan jualan pasar malam dan sebagainya di Kelantan berikutan PKPP, Ahmad berkata, ia akan diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Keselamatan Negara peringkat negeri pada Isnin ini.

“Keputusan dibuat dengan mengambil kira pandangan pihak keselamatan dan juga kesihatan Kelantan,” katanya.