Geng Van Putih tumpas

Suffian (tengah) menunjukkan van putih yang turut dirampas.
Suffian (tengah) menunjukkan van putih yang turut dirampas.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kelicikan Geng Van Putih yang aktif menyamun warga asing sejak November lalu berakhir apabila empat ahli kumpulan itu dicekup polis dalam beberapa serbuan berasingan, kelmarin.

Kesemua mereka yang berusia antara 24 hingga 34 tahun itu ditahan di sekitar Kuala Terengganu oleh polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, mereka ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas menyamun dua lelaki warga Rohingya dan Bangladesh kira-kira jam 10.30 pagi dan 2.30 petang.

“Kejadian pertama membabitkan lelaki Rohingya berusia 37 tahun di belakang sebuah kedai elektrik. Mangsa ketika itu berjalan berseorangan, sebelum didatangi suspek yang bertanya sama ada mangsa mempunyai permit, sebelum ditarik masuk ke dalam van putih.

“Mangsa kemudiannya dipukul dan beg duitnya yang mengandungi wang tunai RM400 dirampas, berserta dua telefon bimbit jenis Samsung J2 dan Nokia 105 lalu ditinggalkan di tepi jalan di Kuala Ibai,” katanya pada sidang media di IPD Kuala Terengganu, hari ini.

Suffian (tengah) dan pegawainya menunjukkan sebahagian daripada barangan yang dirampas.
Suffian (tengah) dan pegawainya menunjukkan sebahagian daripada barangan yang dirampas.

Jelasnya, kejadian kedua membabitkan lelaki warga Bangladesh berusia 28 tahun, berhampiran tapak pembinaan di Jalan Sultan Zainal Abidin.

Menggunakan modus operandi yang sama, mangsa ditarik dan disamun dalam van, kemudian ditinggalkan di tepi jalan di Marang, sementara barangan berharga seperti wang tunai dan telefon bimbit dilarikan.

Artikel Berkaitan:

Susulan laporan yang diterima, gerakan memburu suspek dilakukan dan suspek pertama berusia 24 tahun ditahan di Jalan Sultan Omar, kira-kira jam 9.30 malam hari sama.

“Hasil siasatan awal dilakukan membawa kepada penahanan tiga lagi suspek di sekitar Kuala Terengganu antara jam 10 malam hingga 11 malam.

“Kita turut merampas telefon bimbit, wang tunai RM600, pakaian yang disyaki digunakan semasa melakukan jenayah dan sebuah van putih milik ahli keluarga kepada suspek pertama,” katanya.

Menurut Suffian, ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine, kecuali suspek berusia 34 tahun mempunyai rekod lampau berkaitan judi.

Katanya, polis percaya akan dapat menyelesaikan beberapa lagi kes samun di daerah ini susulan penahanan keempat-empat Geng Van Putih itu.

Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan.