Penganggur mengaku tidak bersalah hina Islam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memuat naik dua status jelik yang menghina agama Islam di laman sosial.

Bagaimanapun, tertuduh, Tham Wai Yuen, 47, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Mengikut pertuduhan pertama, pada 4 April lalu jam 2.30 petang melalui Facebook Wai Yuen dikenali 'Tham Thamsarak' membuat status jelik.

Status itu dibaca pada 20 April 2020 jam 5 petang di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Menara KPJ, Wangsa Maju di Wilayah Persekutuan.

Perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu berkemungkinan menyebabkan suasana yang tidak harmoni di atas alasan agama di antara kumpulan orang beragama Islam dengan kumpulan yang bukan beragama Islam di seluruh negara.

Dia didakwa di bawah Seksyen 298(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen 298(A)(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Wai Yuen pada waktu, tarikh dan tempat yang sama turut memuat naik status jelik di Facebook yang sama dan turut dibaca pada tarikh, waktu dan lokasi sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM50,000 dan dipenjara setahun.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya, Annur Atikah Abdul Hadi meminta mahkamah memberikan jaminan RM10,000 bagi kedua dua kes terbabit.

Bagaimanapun, tertuduh diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan dengan alasan tidak bekerja dan menganggur sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan kes disebut semula 23 Julai ini.