Pendakwaan mohon tangguh kes rasuah Ku Nan

Pihak pendakwaan memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini untuk menggantung perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM1 juta.
Pihak pendakwaan memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini untuk menggantung perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM1 juta.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk menggantung perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM1 juta.

Ketika pengurusan kes, Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali berkata, penggantungan dibuat sehingga perbicaraan rayuan berlangsung di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya.

Menurutnya, ia berkaitan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Tengku Adnan supaya Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes yang sedang dihadapinya itu.

Katanya, kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi yang sama dan akan disebut di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

“Bagaimanapun, pasukan pendakwaan tidak bersetuju dengan keputusan itu lalu membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 14 Februari lepas dan pendengaran ditetapkan pada 17 Julai ini.

“Sementara menunggu keputusan berkenaan, kita mohon agar perbicaraan rasuah di Kuala Lumpur digantung pada 6 Mei lalu,” katanya selepas pengurusan kes berkenaan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Norazihah Asmuni.

Mengikut jadual asal, Lailawati berkata, tarikh perbicaraan kes itu di Mahkamah Kuala Lumpur belum ditetapkan namun sebutan semula untuk permohonan dan tarikh bicara ditetapkan Jumaat ini.

Katanya, kedua-dua permohonan itu akan dibuat di hadapan hakim yang sama iaitu Muhammad Jamil.

Artikel Berkaitan:

Tengku Adnan merayu terhadap keputusan Hakim Mohd Nazlan pada 20 September tahun lepas yang menolak permohonannya supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Putrajaya itu memohon Hakim Mohd Nazlan menarik diri daripada mendengar kesnya kerana hakim itu telah membaca dan mempertimbangkan fakta kes ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon yang membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan Tengku Adnan yang menerima suapan RM1 juta daripadanya (Eng Boon) dan didenda RM1.5 juta.

Pada 12 Februari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Tengku Adnan agar Hakim Mohd Nazlan menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes rasuah RM1 juta yang dihadapinya.

Pada 15 November 2018, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan RM1 juta daripada Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) bagi menambah nisbah plot sebidang tanah berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur, diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail di sini pada 27 Disember 2013.

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu menerima RM1 juta daripada Eng Boon tanpa sebarang balasan melalui cek Public Bank bernombor 300109 ke dalam akaun tertuduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.