Agong terima menghadap Muhyiddin untuk mesyuarat Pra-Kabinet

Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Muhyiddin untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara hari ini.
 - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Muhyiddin untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara hari ini.
 - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, sesi berkenaan yang berlangsung selama satu jam 15 minit dari jam 8.30 pagi kembali diadakan secara bersemuka susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang berkuat kuasa hari ini.

Sesi pra-kabinet dengan Agong itu merupakan yang paling lama berlangsung berbanding sesi-sesi sebelum ini.

Menurut beliau, kali pertama mesyuarat bersemuka sedemikian diadakan adalah pada 18 Mac lepas di Istana Melawati, Putrajaya.

Ia kemudian diteruskan menerusi sidang video untuk sesi berikutnya pada 15 April lepas selepas Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta keluarga menjalani kuarantin diri selama 14 hari berikutan beberapa kes positif koronavirus (Covid-19) melibatkan para pegawai Istana Negara.

“Sesi-sesi berikutnya turut berlangsung menerusi sidang video berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan sesi kali terakhir menerusi sidang video diadakan minggu lepas pada 4 Jun 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Fadil berkata, mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: