X

Kindly register in order to view this article
!

Jemaah di Perlis ditambah ikut keluasan masjid: Raja Perlis

SOP penjarakan 2 meter di masjid masih dikekalkan dalam tempoh PKPP walaupun jumlah bilangan jemaah akan ditambah di Perlis. - Foto Masjid Negeri Arau
A
A

KANGAR - Jumlah jemaah solat Jumaat dan solat fardu di masjid seluruh Perlis akan dipertingkatkan kepada bilangan maksimum berdasarkan keluasan masjid masing-masing dengan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dengan penjarakan 2 meter sebagaimana ditetapkan.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail bertitah, jumlah maksimum jemaah akan dikenal pasti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) sebelum hebahan dibuat.

Titahnya, buat masa ini, SOP melibatkan penjarakan sosial berkenaan masih dikekalkan dan sekiranya terdapat keperluan, perubahan akan turut diperincikan dari masa ke masa sempena Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Mekanisme pemilihan jemaah akan ditentukan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid dengan mengambil kira lokaliti setempat dalam sesuatu kariah.

"Jemaah yang tidak terpilih perlu akur kepada pemilihan yang dilaksanakan menurut kaedah yang diputuskan," titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.

Mengulas lanjut titahnya, antara syarat kelayakan jemaah adalah berusia antara 18 hingga 59 tahun, manakala syarat khas kepada pegawai masjid bertugas akan dimaklumkan oleh JAIPs.

Baginda bertitah, jemaah juga mestilah mereka yang tidak mempunyai gejala seperti demam, sesak pernafasan, sakit tekak dan selesema, tidak mempunyai sejarah masalah kesihatan serius lain yang berisiko seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, penyakit barah dan sebagainya.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, ahli jemaah juga mestilah tidak mempunyai sejarah perjalanan ke tempat yang disenaraikan terlarang, rentas negeri dari zon merah dan tiada kontak rapat dengan individu yang dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19).

"Ahli jemaah juga mesti membuat pemeriksaan suhu badan di tangga utama memasuki masjid, sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran bagi tujuan penjejakan dan memakai topeng muka termasuk ketika menunaikan solat.

"Ahli jemaah juga mestilah berwuduk terlebih dahulu sebelum hadir ke masjid dan membawa sejadah sendiri dan tidak melakukan kontak fizikal seperti berjabat tangan, berpelukan dan sebagainya di masjid sama ada sebelum atau selepas solat serta terus beredar setelah selesai solat," titah baginda.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, tempoh pelaksanaan solat bermula azan hingga selesai solat dikekalkan dengan solat Jumaat iaitu 15 minit manakala solat fardu dibenarkan hanya 10 minit.

Titahnya, pelaksanaan aktiviti lain seperti ceramah dan kuliah masih belum dapat dibenarkan buat masa ini.

"Bagaimanapun kelonggaran secara berperingkat akan dihebahkan dan buat masa ini, siri kuliah, ceramah dan forum agama disiarkan secara dalam talian antaranya melalui program Perlis Mengaji.

"Aktiviti solat jenazah boleh dilaksanakan di masjid dengan menjaga SOP penjarakan sosial yang ditetapkan di masjid manakala pelaksanaan ibadah korban dan seumpamanya dibenarkan dengan penjagaan SOP yang bakal dihebahkan," titah baginda.

Sebelum ini, Perlis membenarkan pelaksanaan solat Jumaat di masjid bermula 15 Mei lalu dengan syarat jumlah jemaah termasuk imam dan khatib tidak melebihi 12 orang dan tidak kurang daripada tiga orang yang terhad kepada jawatankuasa masjid tanpa dihadiri orang awam.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!