LZNK salur bantuan Covid-19 fasa akhir

Muhammad Sanusi (dua, kanan) bergambar bersama Zakaria ketika membuat lawatan di Pusat Pengumpulan Barang Makanan Covid-19 di Kompleks Pembangunan Asnaf di sini semalam.
Muhammad Sanusi (dua, kanan) bergambar bersama Zakaria ketika membuat lawatan di Pusat Pengumpulan Barang Makanan Covid-19 di Kompleks Pembangunan Asnaf di sini semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mengagihkan bantuan bernilai RM3 juta kepada 578 buah masjid bermula semalam.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, agihan Bantuan Covid-19 itu adalah fasa terakhir kepada penerima di seluruh daerah di negeri ini.

"Bantuan melibatkan keperluan asas seperti kicap, beras dan sardin akan disalurkan kepada penerima melalui pusat bekalan makanan yang diuruskan penolong amil di setiap masjid.

"Selepas penolong amil menerima semua barangan ini, mereka akan edarkan kepada penerima yang telah disenaraikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan di Pusat Pengumpulan Barang Makanan Covid-19 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman di Kompleks Pembangunan Asnaf di sini semalam.

Muhammad Sanusi (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada Zakaria ketika membuat lawatan di Pusat Pengumpulan Barang Makanan Covid-19 di Kompleks Pembangunan Asnaf semalam.
Muhammad Sanusi (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada Zakaria ketika membuat lawatan di Pusat Pengumpulan Barang Makanan Covid-19 di Kompleks Pembangunan Asnaf semalam.

Sementara itu, menurutnya, LZNK memperuntukkan dana sebanyak RM10,872,834 bagi keseluruhan empat fasa bantuan sejak 18 Mac lalu hingga semalam dengan mengedarkan 1,000 beg beras ke setiap masjid.

"Alhamdulillah ini ialah usaha LZNK untuk memastikan tiada rakyat Kedah terputus bekalan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga bersyukur kerana tidak menerima sebarang aduan berkaitan rakyat negeri ini yang kelaparan atau terputus bekalan," katanya.

Bagaimanapun, beliau meminta mana-mana pihak yang terputus bekalan makanan menghubungi penolong amil atau pejabat zakat terdekat untuk perhatian lanjut.

"Sekiranya terdapat penduduk kampung yang terputus bekalan makanan mereka boleh menghubungi penolong amil atau pejabat zakat terdekat," katanya.