'10 Jun yang penuh senyuman'

Peluang merentas negeri bermula hari ini menjadi berita gembira buat seluruh rakyat Malaysia.
Peluang merentas negeri bermula hari ini menjadi berita gembira buat seluruh rakyat Malaysia.
A
A
A

HARI ini secara rasmi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mula dikuatkuasakan sehingga 31 Ogos depan.

Di bawah pelaksanaan perintah itu, Malaysia yang kini memasuki fasa pemulihan wabak koronavirus (Covid-19) telah membenarkan operasi di hampir semua sektor pendidikan dan ekonomi serta aktiviti sosial, perniagaan dan keagamaan dengan beberapa pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Namun yang paling mencuri tumpuan sudah tentulah kebenaran perjalanan rentas negeri yang memberi kelonggaran rakyat pulang menziarahi keluarga masing-masing tanpa sebarang sekatan lagi.

Sebaik selesai perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad lepas, Malaysia seolah-olah dihujani senyuman rakyat yang selama ini memang menantikan ‘kebebasan’ selepas hampir tiga bulan ‘berkurung’ di tempat masing-masing.

Lihat sahaja respons ketika pengumuman dibuat, masyarakat tidak kira bangsa dan agama, bujang atau sudah berkahwin menzahirkan rasa kesyukuran dengan kelonggaran diberikan.

Dalam media sosial, rakyat Malaysia dengan daya kreativiti di tahap tertinggi memainkan lagu Balik Kampung dendangan Allahyarham Sudirman Haji Arshad dengan pelbagai suntingan visual dan video grafik.

Meskipun disampaikan dalam nada bergurau, ia tetap membawa intepretasi yang sama iaitu rasa syukur dan gembira.

Kelonggaran yang diberikan kerajaan ini juga melegakan orang ramai yang mahu menjalani kehidupan seperti biasa, keluar bekerja, berniaga, beriadah, melancong bersama keluarga dan melakukan aktiviti-aktiviti lain.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan negeri Perak sendiri sudah bersiap sedia melaksanakan SOP kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membenarkan penjaja atau peniaga kecil berniaga.

Sektor perhotelan di Langkawi pula dilaporkan telah menerima 1,000 tempahan daripada pelancong domestik sebaik sahaja aktiviti pelancongan dibenarkan.

Sarawak membenarkan solat lima waktu berjemaah dan solat Jumat di masjid dan surau dengan pelbagai syarat dengan jumlah jemaah dihadkan di antara 20 orang dan 100 orang pada satu-satu masa.

Kementerian Pendidikan juga mengumumkan pembukaan semula sekolah secara berperingkat dengan nasihat daripada Kementerian Kesihatan.

Tidak ketinggalan, penggiat sukan tanah air yang menyambut baik kebenaran operasi sektor sukan dan rekreasi yang tidak membabitkan sentuhan badan.

Pelaksanaan PKPP ini menjadi bukti disiplin tinggi ditunjukkan rakyat dan pengorbanan petugas barisan hadapan yang telah menyumbang kepada kejayaan membendung wabak Covid-19.

Kepatuhan ini bukan satu perkara sia-sia apabila kadar jangkitan di negara kita menunjukkan trend semakin menurun dan statistik Kementerian Kesihatan memperlihatkan kadar jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan semakin rendah dan terkawal.

Kelmarin Malaysia hanya mencatatkan tujuh kes iaitu yang terendah direkodkan sejak 18 Mac lalu.

Namun sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita perlu terus berpegang pada normal baharu yang dipraktikkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ini.

Perkara paling mudah dan yang pastinya boleh dilakukan semua orang adalah dengan amalkan penjarakan sosial, menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka apabila berada di tempat awam dan elakkan tempat yang sesak.

“Ingat, jika ibu bapa anda adalah warga emas, mereka berada dalam kategori orang yang mudah terdedah kepada jangkitan. Jadi, walaupun kita seronok dapat menziarahi mereka, tanggungjawab utama kita adalah untuk melindungi mereka daripada terkena jangkitan,” demikian petikan ucapan Muhyiddin pada 7 Jun lalu.

* Normawati Adnan ialah wartawan Sinar Harian edisi Perak