DUN Chini bukan kerusi Amanah, kata Mahfuz

Mahfuz
Mahfuz
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) tidak akan meletakkan calon daripada parti mereka bagi berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang biarpun Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut membuat pengumuman sama baru-baru ini.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, keputusan itu adalah selaras dengan keputusan bersama Majlis Presiden Pakatan Harapan yang mengambil kira penularan Covid-19 yang belum dapat ditangani sepenuhnya di negara ini.

Bahkan, katanya, adalah tidak wajar untuk Amanah untuk meletakkan calon sedangkan DUN Chini telah diperuntukkan untuk PKR.

ARTIKEL BERKAITAN: PKR tak tanding di PRK DUN Chini

Peluang BN menang percuma di PRK DUN Chini

“Itu bukan kerusi kita. Saya tidak tahu mengapa (PKR tidak letak calon). Itu keputusan PKR. Kerusi itu diperuntukkan untuk PKR. Jadi kita serah kepada mereka,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan pada 6 Jun lalu mengesahkan PKR tidak akan meletakkan calon untuk kerusi berkenaan.

Katanya, PKR berpandangan prosedur operasi standard (SOP) yang bakal dikeluarkan mendatangkan kesan kepada cara berkempen dan gerak kerja di lapangan.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Julai ini sebagai tarikh pengundian bagi PRK DUN Chini.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 20 Jun dan hari mengundi awal adalah pada 30 Jun ini.

PRK Chini diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur pada 6 Mei lalu.

Pada PRU14, Abu Bakar yang memperoleh 10,027 undi menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim dan calon PKR, Mohamad Razali Ithnain.