'MAS kena jaga kehormatan negara'

Tular di media sosial, iklan mempromosi makanan dan gambar daging babi yang diterbitkan dalam majalah MAS, Going Places keluaran Januari 2019. - Foto Utusan Malaysia.
A
A

SHAH ALAM - Sebagai peneraju syarikat penerbangan kebangsaan, Malaysia Airlines Bhd (MAS) perlu cakna dan prihatin terhadap sensitiviti negara.

Bekas Pengarah Urusan MAS , Tan Sri Abd Aziz Abdul Rahman berkata, oleh itu insiden promosi makanan dan gambar daging babi yang diterbitkan dalam iklan majalah syarikat penerbangan itu, Going Places keluaran Januari 2019 disifatkannya sebagai tidak wajar kerana MAS membawa imej kebangsaan.

“Kita sebagai jenama nasional, kalau syarikat lain tak apa. Ini sebagai jenama negara, kita hendaklah jaga kehormatan negara dari segi undang-undang dan sebagainya jadi kita ini negara Islam itu tidak membawa imej negara Islam sebagai agama rasmi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas iklan hidangan babi yang disiarkan dalam ruangan Restaurant Openings dalam majalah yang diterbitkan MAS, Going Places keluaran Januari 2019.