Salon 80 tahun di Pulau Pinang beroperasi semula esok

Pekerja kedai gunting rambut Ever Green di Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim bersiap sedia dengan peralatan dan pakaian mengikut SOP KKM. - Foto Bernama
Pekerja kedai gunting rambut Ever Green di Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim bersiap sedia dengan peralatan dan pakaian mengikut SOP KKM. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Sebuah salon berusia 80 tahun di Jelutong dekat sini bersedia beroperasi semula apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memasuki fasa pemulihan esok.

Tinjauan Bernama ke Ever Green Hairdressing Salon hari ini mendapati pemiliknya, V Segar, 58, dan kakitangannya memakai ponco plastik, topeng dan pelindung muka ketika menyahkuman peralatan dan tempat duduk di salon itu.

Penanda juga diletakkan di luar premis untuk menunjukkan kedudukan pelanggan untuk berbaris sambil menjaga penjarakan sosial.

“Esok akan menjadi hari yang sibuk. Kami juga menerima beberapa panggilan daripada pelanggan untuk membuat janji temu menggunting rambut,” katanya kepada Bernama.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hari ini mengumumkan negeri itu akan melaksanakan sepenuhnya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) untuk sektor perniagaan dan ekonomi di seluruh negeri bermula esok sepertimana diumumkan kerajaan Persekutuan.

Segar berkata, dia dan pekerjanya menghabiskan masa sebulan menyiapkan peralatan perlindungan diri dan membiasakan diri dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu agar dapat menyesuaikan diri dengan normal baharu.

“Pekerja kami ‘bercuti’ selama tiga bulan, tetapi sekarang mereka bersedia menyambut pelanggan kami mulai esok,” katanya.

Menurut Segar, SOP baharu termasuk melantik seorang pekerja untuk membuat saringan suhu pelanggan dan mengesan maklumat hubungan, menjaga jarak dua meter antara setiap tempat duduk dan menyahkuman peralatan menggunting rambut sebelum melayani pelanggan seterusnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, satu daripada prosedur baharu melibatkan pelanggan memakai apron pakai buang berbanding yang boleh diguna semula sebelum ini.

“Disebabkan (SOP) itu dan peralatan baharu, kami akan mengenakan caj tambahan RM2 untuk setiap perkhidmatan yang disediakan. Biasanya (sebelum PKP), kami mengenakan bayaran RM8 untuk gunting rambut, tetapi mulai esok kami caj RM10,” katanya.

Katanya, salon itu akan beroperasi 8.00 pagi hingga 8.30 malam mulai esok dengan perkhidmatan termasuk menggunting rambut, mencukur dan mewarnakan rambut.- Bernama