Afidavit Gani Patail antara faktor pertuduhan Musa Aman ditarik balik

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail - Foto Sumber Internet
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail - Foto Sumber Internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu afidavit yang difailkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail adalah antara faktor Jabatan Peguam Negara (AGC) membuat keputusan untuk menarik balik pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, pada 13 Mei 2020, Musa telah menghantar satu representasi kepada AGC meminta agar kes terhadapnya ditarik balik dan semua pertuduhan dibatalkan.

Beliau berkata, pada 5 Jun 2020, AGC menerima afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi oleh Musa dan telah diikrarkan Abdul Gani untuk menyokong permohonan Musa bagi membatalkan semua pertuduhan terhadapnya.

“Mantan Peguam Negara mempertahankan keputusan Jabatan Peguam Negara pada 2012 untuk tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Tan Sri Musa Aman memandangkan siasatan mendapati wang yang terlibat adalah sumbangan politik.

ARTIKEL BERKAITAN: Musa Aman lepas dan bebas

“Mantan Peguam Negara juga telah menyatakan bahawa keputusan tersebut dibuat secara kolektif oleh individu-individu peringkat atasan iaitu Datuk Seri Tun Abdul Majid Tun Hamzah (mantan Ketua Bahagian Pendakwaan), Tan Sri Abu Kassim Mohamad (mantan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Datuk Seri Mustafar Ali (mantan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM).

“Setelah kertas siasatan itu dikaji dan diteliti daripada sudut perundangan, mantan Peguam Negara telah menggunakan budi bicara beliau dan memutuskan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan pendakwaan,” menurutnya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Idrus juga berkata, memandangkan terdapat representasi dan perkembangan terbaru dalam bentuk afidavit oleh Abdul Gani, maka adalah menjadi tanggungjawab AGC untuk mengkaji semula keseluruhan keterangan bagi kes itu.

Katanya, setelah meneliti semua keterangan sedia ada dan selepas perbincangan dengan pasukan pendakwaan dan siasatan, beliau memutuskan untuk menarik balik kesemua pertuduhan terhadap Musa.

“Dalam kes-kes seperti ini, keterangan dokumentar adalah amat diperlukan bagi tujuan pembuktian kes. Keterangan dokumentar syarikat dan perbankan yang dijangka didapati tidak dapat diperoleh secara Permohonan Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah dari Hong Kong.

Artikel Berkaitan:

“Pihak Jabatan Kehakiman Hong Kong baru-baru ini memaklumkan jabatan ini bahawa syarikat dan bank di Hong Kong hanya dikehendaki menyimpan rekod selama tujuh tahun dan adalah berkemungkinan besar bahawa syarikat dan bank berkenaan tidak lagi memiliki rekod atau dokumen berkenaan.

“Selain itu, terdapat saksi-saksi utama bagi pihak pendakwaan yang telah meninggal dunia, mengalami masalah kesihatan yang serius atau tidak lagi berada di Malaysia,” katanya.

AG berkata, perkembangan terbaru ini termasuk afidavit yang difailkan telah menyebabkan keadaan yang tidak mewajarkan pertuduhan diteruskan terhadap Musa.

Beliau berkata, keputusan itu diperkuatkan lagi dengan sepucuk surat bertarikh 22 Dis 2011 daripada Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong yang menyatakan siasatan mereka terhadap Musa telah lengkap dan berdasarkan fakta-fakta yang diketahui tiada tindakan siasatan lanjut akan dijalankan.

“Keputusan yang dibuat ini adalah menurut kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicara saya seperti yang termaktub dalam Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Mahkamah Tinggi hari ini membebaskan Musa, 69, daripada 30 pertuduhan rasuah dan 16 pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan kontrak konsesi balak di Sabah selepas pendakwaan menarik balik semua pertuduhan terhadapnya dan membenarkan permohonan pembelaan agar tertuduh dibebaskan.- Bernama