Fleksi kerja dari rumah penjawat awam hadapi isu penjagaan anak: KPPA

Mohd Khairul Adib Abd Rahman
Mohd Khairul Adib Abd Rahman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa esok akan menyaksikan kehadiran penjawat awam ditingkatkan selari dengan pembukaan sektor-sektor ekonomi dan sosial termasuk sekolah.

Beliau berkata, pada masa ini, perkhidmatan kementerian dan agensi kerajaan pulih dengan kehadiran ke pejabat melebihi 70 peratus.

Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan berterusan pada tahap 100 peratus, beliau berkata, kesemua pengarah bahagian sektor perkhidmatan awam hendaklah mengimbangi antara keperluan kehadiran pekerja masing-masing di pejabat dan kemudahan bekerja dari rumah.

“Pertimbangan fleksi bekerja dari rumah harus diberikan kepada mereka yang masih menghadapi isu penjagaan anak di rumah sementara menantikan sekolah dibuka semula,” katanya dalam perutusan kepada penjawat awam hari ini.

Dalam menghadapi situasi wabak Covid-19 yang masih di persekitaran, beliau menggesa semua warga JPA memberi keutamaan bagi memastikan keselamatan serta kesihatan diri, keluarga dan rakan sepejabat.

"Sekiranya kita mendatangkan risiko jangkitan atau penularan, adalah wajar kita bertindak segera sepertimana arahan pihak berkuasa. Di peringkat jabatan, segala usaha akan digandakan untuk memastikan persekitaran kerja mematuhi prosedur operasi standard (SOP) diumumkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Beliau berkata, pengarah bahagian juga diminta untuk memantau dan memastikan persekitaran yang kondusif dan selamat bagi memberi keyakinan kepada penjawat awam kembali bertugas ke pejabat.

Mohd Khairul berkata, kesegeraan dalam tindakan proaktif adalah kemestian bagi membantu membangunkan semula sektor ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

"Jelas sekali, ramai yang terkesan dari segi pendapatan dan pekerjaan akibat Covid-19. Walaupun kita tidak terkesan secara langsung daripada situasi ini, tugas mencabar menanti kita adalah untuk membantu sektor swasta untuk membangunkan semula bisnes dan sektor-sektor ekonomi negara.

“Dalam hal ini, penjawat awam perlu peka dan responsif kepada kehendak klien dan pemegang taruh. Kesegeraan tindakan, profesionalisme dan pemudah cara daripada kita pasti dapat memangkinkan pemulihan ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata, tiada toleransi kepada warga penjawat awam yang tidak produktif dan tiada integriti kerana persaingan dalam pekerjaan kini menjadi lebih sengit berikutan ramai yang ingin bekerja untuk menyara kehidupan.

Jelasnya, perkhidmatan, sumbangan dan disiplin sebagai penjawat awam amatlah dituntut terutamanya dalam situasi negara yang sedang melalui krisis kesihatan dan ekonomi paling mencabar ketika ini. - Bernama