Kesan beberapa lokasi tapak buang sampah haram

Tinjauan dilakukan terhadap salah satu lokasi pembuangan sampah haram.
Tinjauan dilakukan terhadap salah satu lokasi pembuangan sampah haram.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Beberapa lokasi dalam daerah ini dikesan dijadikan tapak pembuangan sampah dan pembakaran haram hingga menyebabkan pencemaran bau.

Exco Alam Sekitar, Perumahan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Dr Robert Ling Kui Ee berkata, setakat ini pihaknya mengenal pasti beberapa lokasi berdasarkan aduan awam yang diterima sehingga memberi kesan pencemaran membabitkan kawasan perumahan di sini.

Menurutnya, antara lokasi dikenal pasti termasuk di Sungai Lalang, Ambangan Heights, Bedong, Semeling, Gurun dan Kampung Serukam, Sungai Petani.

"Kita syak tindakan dilakukan akibat penutupan pusat pelupusan sedia ada menyebabkan sisa dilambakkan di lokasi haram oleh pihak tidak bertanggungjawab sedangkan sepatutnya sisa sampah perlu dihantar ke pusat pelupusan berdaftar dengan kos mencecah RM600 satu tan," katanya selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), hari ini bersama Exco Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Datuk Dr Mohd Hayati Othman.

Robert berkata, tinjauan telah dilakukan ke tapak pembuangan sisa haram di Sungai Lalang semalam setelah aduan diterima.

"Sebuah syarikat dari Sungai Petani dikesan melakukan pembuangan di mana kenderaan yang digunakan disita dan tindakan selanjutnya diambil oleh pihak berkuasa terlibat.

"Kawasan itu berdekatan Sungai Tukang, Sungai Lalang, di Jalan Sungai Petani - Alor Setar dan turut bersama turun padang termasuk polis, MPSPK dan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Swcorp).

"Mengikut maklumat, tapak ini adalah milik persendirian dan pada April lalu, Swcorp telah mengambil tindakan atas ke atas pihak terbabit,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, siasatan masih dijalankan di lokasi lain yang menerima aduan sama.

Katanya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak terlibat memandangkan kegiatan pembuangan sisa haram dan pembakaran terbuka memberi kesan berpanjangan termasuk menimbulkan bau busuk kepada penduduk setempat.