Hayati dan jiwai Rukun Negara

A
A
A

BARU-baru ini penulis mengetengahkan idea ‘Gencatan Politik’ pada seisi rakyat Malaysia khususnya ahli-ahli politik agar semua pihak dapat bersatu dan fokus kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Negara dan rakyat telah banyak berkorban dalam menghadapi perang ke atas wabak Covid-19 dan percaturan politik yang melampau hanya merencatkan objektif pemulihan yang rakyat dambakan.

Seperti biasa penulis dipersoal oleh ahli politik pembangkang sehingga digelar sebagai ‘munafik politik’ dan disuruh untuk bermuhasabah.

Respons balas berkenaan adalah sesuatu yang lucu kerana penulis yakin Ketua DAPSY itu tidak memahami apa itu muhasabah.

Walaupun respons berkenaan sudah boleh dijangka, penulis berharap ahli politik khususnya di blok pembangkang lebih bertimbang rasa dan memikirkan kepentingan rakyat secara keseluruhan.

Mengapakah wujud individu atau kelompok rakyat yang sebegini rupa? Apakah begitu tiris sekali sifat timbang rasa sesama insan, menggalakkan kesatuan dalam kepelbagaian dalam kalangan jiwa rakyat Malaysia?

Tidak dinafikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang rakyatnya berbilang bangsa dan agama.

Walaupun Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan meletakkan kedudukan agama Islam tinggi sebagai agama bagi Persekutuan namun dokumen yang sama juga menjamin bahawa semua agama boleh diamalkan secara harmoni di mana-mana bahagian Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Kepelbagaian kaum dan agama seperti seharusnya boleh digembleng dan dipakejkan sebagai asas pembangunan sebuah negara bangsa yang Makmur dan bermaruah.

Tetapi selepas kita lebih 63 merdeka, masih ada kelompok yang membawa kepada perpecahan.

Golongan ini seperti ‘kosong’ jiwa bangsa dan tidak prihatin dengan keadaan negara. Apakah kita tidak mempunyai formula atau satu alat untuk mengatasi permasalahan ini?

Integrasi

Baru-baru ini Indonesia menyambut Hari Pancasila yang diadakan pada 1 Jun setiap tahun.

Pancasila atau Falsafah Negara ini didefinisikan sebagai rumusan dan pedoman kehidupan berbangsa dan bernegara bagi semua rakyat Indonesia dan menjadi asas kepada idealogi-idealogi negara Indonesia.

Mereka juga berbilang etnik dan berbagai daerah seperti Jawa, Sunda, Minang, Batak, Madura, Dayak, Melayu Riau, Acheh. Malahan Undang-Undang Dasar 1945 sendiri sekular dan memberikan kebebasan beragama kepada rakyatnya. Baik Islam, Kristian, Buddha serta kepercayaan animism tempatan.

Di sebalik kepelbagaian ini, pemerintah dan rakyat Indonesia mengangkat dan menjiwai Pancasila sehingga kesatuan di antara mereka sebagai Indonesia dikagumi ramai.

Mungkin ada yang berhujah bahawa Indonesia mengamalkan konsep asimilasi dalam pembentukan bangsa Indonesia dan Malaysia cenderung untuk mengangkat konsep ‘integrasi’ sekali gus menyukarkan kesatuan dan pembentukan bangsa Malaysia.

Namun begitu, konsep integrasi yang kita guna pakai selama ini juga membuahkan hasil yang cukup memberangsangkan dan tidak kalah berbanding Indonesia.

61 tahun Malaysia di bawah kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional berjaya membawa Malaysia keluar dari negara yang miskin kepada negara yang aman, makmur dan moden.

Kestabilan politik hasil persetujuan bersama semua kaum, baik Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak, Siam dan lain-lain untuk berkongsi kuasa di dalam Perikatan dan Barisan Nasional memberikan kita kemerdekaan dan penubuhan Malaysia.

Namun, ia tidak boleh berdiri sendiri dan harus diperkukuhkan dengan satu objektif dan prinsip bersama dalam kalangan rakyat persendirian.

Insiden hitam ‘Tragedi 13 Mei 1969’ yang berlaku adalah harga yang mahal untuk Malaysia. Menyedari akan kewujudan elemen rasisme melampau untuk berkuasa dalam kalangan rakyat, bapa-bapa pengasas kita melalui Majlis Perundingan Negara 1969 telah melahirkan Rukun Negara pada tahun 1970 sebagai idealogi kebangsaan Malaysia dan pengisi jiwa patriotisme dalam kalangan rakyat.

Penulis terkilan kerana masih ada sebahagian dalam kalangan rakyat khususnya anak-anak muda yang tidak tahu akan Rukun Negara dan tidak boleh mengucapkan Rukun Negara. Apa yang sedang berlaku?

Jika dahulu penulis harus membacakan Rukun Negara di perhimpunan sekolah dan ia terpampang jelas di belakang buku-buku latihan sekolah sehingga boleh kekal tersemat di hati, namun kini dikhuatiri ia semakin jauh daripada anak-anak kita.

Jika sebagai seorang Muslim, kita ada Rukun Islam untuk asas kepada keIslaman kita, maka tidak salah penulis katakan untuk menjadi Rakyat Malaysia yang sebenarnya, Rukun Negara lah asasnya.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia