Solusi bencana Covid-19

A
A
A

BARU-baru ini Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa Malaysia kini berada pada fasa pemulihan daripada Covid-19. Kita bakal memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPB) pada 10 Jun ini.

Banyak peraturan berkenaan kawalan pandemik Covid-19 telah dilonggarkan kerajaan, menyerahkan tahap pemulihan ini hampir 90 peratus kepada rakyat Malaysia dalam melawan pandemik ini.

Kerajaan sudah lakukan yang terbaik, ini giliran rakyat untuk melaksanakan tugasan masing-masing dalam menangani jangkitan Covid-19.

Kerajaan melalui nasihat dan bimbingan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), telah melaksanakan tugasan mereka sehabis baik.

Adakah masalah Covid-19 ini sudah selesai? Sudah tentu tidak.

Seyogia diingatkan bahawa kita sedang memulihkan diri. Bukan sahaja daripada mengawal jangkitan Covid-19 tetapi juga dari pelbagai aspek terutamanya ekonomi.

Kerajaan sedang memastikan ekonomi kita kembali dijana, maka pelbagai stimulus atau pakej rangsangan diperkenalkan bagi membantu memulihkan semula ekonomi negara.

Banyak perniagaan yang telah lama terkesan, terutamanya perniagaan kecil dan sederhana.

Artikel Berkaitan:

Sedih melihat rakyat hidup dalam situasi kewangan yang amat mencengkam hingga memaksa mereka meminta bantuan dan sedekah.

Ada yang terpaksa menebalkan muka demi memastikan ahli keluarga mereka terisi perutnya dan tidak tidur dalam kelaparan.

Ada juga yang dipaksa untuk keluar dari rumah masing-masing kerana tidak mampu untuk membayar sewa akibat tiada sumber pendapatan. Ada juga yang dipotong gaji dan kehilangan kerja.

Dari aspek perundangan pula, masalah berkaitan perundangan semakin meruncing.

Banyak syarikat yang tidak dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing seperti yang termaktub dalam perjanjian mereka kini bakal berhadapan dengan tindakan saman.

Ada syarikat yang terpaksa berhadapan dengan isu masalah kewangan hingga memaksa mereka untuk melakukan penstrukturan semula keberhutangan mereka dengan pemiutang masing-masing.

Mereka terpaksa mendapatkan perintah atau kebenaran mahkamah untuk menyelamatkan syarikat masing-masing dengan menggunakan mekanisme penyelamat korporat seperti yang telah disediakan dalam Akta Syarikat 2016.

Pihak kerajaan masih agak perlahan dalam membentangkan dan meluluskan akta-akta berkaitan berkenaan Covid-19. Tidak diketahui bila rang undang-undang (RUU) berkenaan Covid-19 akan dibentang dan diluluskan oleh Parlimen.

Selagi mana RUU tersebut masih belum dilulus dan dilaksanakan oleh kerajaan, maka akan ramai yang akan terjebak secara perundangan dan kewangan akibat Covid-19.

Menteri Undang-undang sendiri masih dalam proses mendapatkan maklum balas dan pandangan daripada orang awam termasuk profesional tentang pindaan-pindaan atau undang-undang yang diperlukan dalam menyelamatkan individu dan perniagaan akibat Covid-19.

Ini bukan kerja mudah dan ringkas, tetapi memerlukan penelitian yang mendalam bagi memastikan tiada pihak yang tertinggal daripada mendapat perlindungan undang-undang.

Saya merasakan RUU yang bakal dibentangkan perlu mempunyai kesan retrospektif (liputan jangka masa kebelakang, bermula daripada awal tahun 2020 atau sekurang-kurangnya ketika hari pertama perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan).

Kesan retrospektif ini adalah amat penting dalam memastikan mana-mana individu atau perniagaan yang terkesan akibat Covid-19 ini mendapat bantuan atau perlindungan yang sebaiknya.

Malah, RUU ini juga perlu memberikan perlindungan terhadap mana-mana individu atau perniagaan yang telah terkesan secara langsung, sebagai contoh, dihalau keluar daripada rumah atau premis perniagaan ketika PKP akibat kegagalan membayar sewa. Mereka ini perlu diberikan pampasan sewajarnya.

Negara seperti New Zealand telah berjaya keluar daripada kemelut Covid-19 ini. Mereka wajar dijadikan contoh bagaimana ekonomi mereka kembali dipulihkan walaupun secara beransur.

Dari aspek perundangan pula, mungkin Singapura adalah contoh terbaik sebagai teladan kita. Mereka begitu pantas dan efisien dalam menggubal undang-undang berkenaan Covid-19, malah peraturan berkenaan pilihan raya ketika Covid-19 juga telah digubal.

Mungkin negara kita perlu belajar daripada negara-negara ini agar kita menjadi lebih efisien dan pantas dalam menjalankan tugas masing-masing.

* Haeme Hashim ialah peguam di Tetuan Haeme Lew, Kuala Lumpur