Aliran trafik di Pahang semakin tinggi menjelang hujung minggu

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Aliran trafik di negeri Pahang dijangka meningkat sehingga 10 peratus susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa esok.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, aliran trafik dijangka meningkat terutama bagi pengguna yang menghala ke Pantai Timur.

"Pada masa kini, anggaran jumlah kenderaan sekitar 6,500 hingga 7,500 sehari dalam bandar (30-35 peratus). Bermula esok, kita jangkakan kenaikan 10 peratus kepada 45 hingga 50 peratus.

"Bagi pergerakan hujung minggu ini iaitu pengguna yang ingin pulang ke Pantai Timur, mungkin bertambah sehingga 20 peratus ke 30 peratus berikutan rakyat sudah lama tidak balik ke kampung," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Abd Jalil berkata, pihaknya menjangkakan pertambahan jumlah kenderaan di laluan Bentong-Raub-Lipis kerana ia merupakan laluan yang sama untuk ke Kelantan manakala laluan ke Terengganu melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT)-Kuantan dijangka lancar.

"Jika meningkat pun mungkin sedikit sahaja dan tiada masalah untuk pengguna meneruskan perjalanan rentas negeri," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKPP bermula esok hingga 31 Ogos depan, menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pelaksanaan PKPP antara lain membenarkan pergerakan rentas negeri selain beberapa aktiviti dilarang ketika PKPB yang akan berakhir hari ini.

Artikel Berkaitan: