1MDB: Mahkamah tolak lucut hak wang BN Johor Bahru dan Jakel Trading

1MDB
1MDB
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk melucutkan hak harta Barisan Nasional (BN) Johor Bahru dan Jakel Trading berjumlah RM1.59 juta.

Ia membabitkan perlucutan harta yang didakwa berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan nilai RM957,395.65 daripada BN Johor Bahru manakala RM628,314 daripada Jakel Trading.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan afidavit dan penghujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Untuk rekod, Jakel Trading dan BN Johor Baru dituduh menerima wang daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak antara tahun 2011 dan 2013.

Dalam penghakimannya, Shahrir berkata, tidak dipertikaikan bahawa Jakel menerima wang dalam tiga pembayaran masing-masing sebanyak RM180,000 pada 27 Julai 2011 dan 8 September 2011, dan RM268,314 lagi pada 27 Ogos 2013.

“Najib mengeluarkan cek bayaran kepada Jakel Trading dan jelas wang tersebut dibuat oleh Najib selaku Presiden UMNO dan Menteri Kewangan berkaitan pelaburan dan usaha perniagaan 1MDB.

“Namun, RM628,314 yang dibayar kepada Jakel Trading adalah untuk barang yang dijual dan dihantar ke Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Shahrir berkata, urus niaga berkenaan berlaku antara 2011 dan 2013 sedangkan kes terhadap Najib dan 1MDB hanya menjadi hangat diperkatakan pada 2015.

Artikel Berkaitan:

Ketika 2011 dan 2013 katanya, sesiapa sahaja tidak akan mengetahui wang berkenaan digunakan daripada dana 1MDB.

Sementara bagi kes membabitkan BN Johor Bahru, Shahrir berkata, pihak pembelaan menegaskan sumbangan yang diterima bukan daripada akaun Najib sebaliknya daripada BN dan sumbangan lain bermula Januari hingga Jun 2018 lalu.

“Dalam hal ini, saya mendapati pemohon gagal membuktikan wang dalam akaun tersebut adalah daripada aktiviti wang haram,” katanya.

Bagi kedua-dua kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Samihah Rhazali and Mahadi Abdul Jumaat.

BN Johor Bahru diwakili peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros manakala Jakel Trading diwakili oleh Habizan Habeeb Rahman dan Thevini Nayagam.

Pada Jun tahun lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan saman sivil untuk pelucutan hak terhadap 41 entiti terdiri daripada individu, syarikat dan parti politik di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan 1MDB.

SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan secara tidak sah daripada akaun Najib.