Bersatu Johor akur pelantikan Azman, Basut

Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuan (dua dari kiri) menyerahkan replika cek pencen penakat kepada Dayang Mariany sambil disaksikan Mazlan (tengah) di Kompleks Yayasan Warisan Johor, Johor Bahru hari ini.
Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuan (dua dari kiri) menyerahkan replika cek pencen penakat kepada Dayang Mariany sambil disaksikan Mazlan (tengah) di Kompleks Yayasan Warisan Johor, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pelantikan Azman Mohd Umar dan Basut Nin sebagai Pemangku Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Simpang Renggam dan Bahagian Muar adalah sah malah dibuat mengikut perlembagaan parti.

Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang berkata, pihaknya akur dan menerima keputusan yang dibuat Majlis Tertinggi (MT) parti tersebut pada Jumaat lalu dengan hati terbuka serta tidak ada isu berbangkit mengenainya.

"Pemangku sudah dilantik jadi berilah peluang kepadanya untuk menjalankan tugas, perkara ini (keputusan melantik pemangku di dua bahagian berkenaan) sudah muktamad, kita di peringkat negeri mengikut keputusan Bersatu peringkat Pusat.

"Pelantikan ini adalah sah di sisi undang-undang, Bersatu pun ada peguam mereka sendiri untuk tentukan keputusan ini," katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan pencen penakat Pertubuhan Kesihatan Sosial (Perkeso) kepada balu kepada bekas pemain drum kumpulan UG14 dan Kombo Orkestra Yayasan Warisan Johor, Dayang Mariany Awang Sawarie di Kompleks Yayasan Warisan Johor di sini hari ini.

MT Bersatu pada Jumaat lalu membuat keputusan menggantikan Dr Maszlee Malik dan Syed Saddiq Syed Rahman sebagai Ketua Bersatu Bahagian Simpang Renggam dan Muar kerana tindakan mereka duduk di kerusi pembangkang semasa sidang Dewan Rakyat bulan lalu.

Susulan itu, Bersatu Bahagian Simpang Renggam menerusi satu kenyataan pada Sabtu lalu menolak watikah pelantikan Azman sebagai Pemangku Ketua bahagian berkenaan yang dikeluarkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin Jumaat lalu.

Kenyataan berkenaan ditandatangani 19 pimpinan Bersatu Simpang Renggam termasuk Naib Ketua Bahagian, Ketua Armada, Ketua Srikandi, Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan, Setiausaha Kerja selain 12 Ahli Jawatankuasa bahagian berkenaan.

Mazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor berkata, pihak yang menolak pelantikan tersebut dan menyatakannya tidak sah hanya merupakan pandangan peribadi mereka.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, penolakan tersebut merupakan hak mereka dan sudah menjadi lumrah politik, setiap keputusan yang dibuat sudah tentu tidak akan diterima atau dipersetujui seratus peratus.

Ditanya sekiranya keputusan berkenaan akan diboikot terutama akar umbi dan kepimpinan Bersatu Bahagian Simpang Renggam, beliau berkata, tidak ada istilah boikot dalam perkara tersebut.

"Pemangku Ketua Bahagian Simpang Renggam ada bertemu saya beberapa hari lalu. Bila jadi pemangku, beliau ada kuasa untuk mengubah jawatan-jawatan lantikan seperti Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan empat ahli Jawatankuasa bahagian yang dilantik. Ini untuk kuatkan jentera parti," katanya.

Menurutnya, agak sukar untuk mengukur sokongan akar umbi terhadap keputusan tersebut dan setakat ini mendengarnya melalui pandangan dan komen-komen dalam Facebook sahaja.