Defisit sekali ganda susulan pakej rangsangan Covid-19

Amiruddin Hamzah
Amiruddin Hamzah
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah menjangkakan negara bakal berdepan defisit sekali ganda daripada Bajet 2020 yang diluluskan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Beliau berkata, defisit itu berlaku berikutan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengumumkan pembiayaan beberapa pakej rangsangan Covid-19 sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan Mac lalu.

"Pada awalnya rakyat menjangka kerajaan PN tidak perlu meminjam kerana mempunyai dana dan rizab yang besar, tidak seperti kerajaan PH yang didakwa kedekut dan menipu rakyat kata tiada duit.

"Kerajaan PN juga tidak menyatakan dari mana sumber kewangan digunakan untuk pakej rangsangan itu, sehingga agensi berita Reuters dan The Edge Markets mendedahkan, kerajaan akan berhutang untuk menampung pembiayaan itu.

“Akhirnya, baru kita tahu apabila Menteri Kewangan, Tengku (Datuk Seri) Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan, kerajaan akan berhutang untuk menampung pembiayaan pakej rangsangan Covid-19," katanya menerusi ciapan di Twitternya hari ini.

Beliau berkata, perkara itu akan menyebabkan berlaku defisit bajet menjadi sekali ganda daripada yang telah diluluskan kerajaan PH dalam Bajet 2020.

“Bajet 2020 yang dibentangkan PH tahun lepas dan diluluskan akan menyaksikan defisit bajet sebanyak RM51.7 bilion atau 3.2 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan defisit ini akan ditampung melalui hutang awam,” ciapnya.

Mengulas lanjut, Amiruddin berkata, dengan pakej rangsangan pula, kerajaan perlu berhutang sebanyak RM60 bilion lagi, menjadikan jumlah hutang tahun ini naik kepada RM111.7 bilion atau 6.9 peratus dari KDNK.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dengan jumlah hutang RM111.7 bilion bagi tahun 2020, dicampur dengan hutang belum langsai menyebabkan hutang awam negara melebihi 55 peratus dari KDNK dan ini memerlukan kelulusan dari Parlimen.

“Jelaslah berdasarkan kenyataan Tengku Zafrul, sebenarnya apa yang disebutkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Guan Eng (bekas Menteri Kewangan PH) sebelum ini adalah benar, negara perlu berhutang jika bajet defisit.

“Kerana itu, ada NGO membuat laporan polis berkenaan masalah kewangan negara ketika rejim PH memerintah, lantas menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat isu Bon Samurai, penjualan aset Khazanah, Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan sebagainya.

“Saya ucapkan selamat membuat laporan polis kepada NGO berkenaan pada 12 Jun ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu.

Tambahnya, sejak wabak Covid-19 melanda negara ini dan dunia khususnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi sebanyak empat kali termasuk yang pertama oleh Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri Interim.